Silap besar keluar Umno: Bung Moktar

Bung Moktar Radin - Foto Bernama
Bung Moktar Radin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan adalah satu kesilapan besar buat sebahagian jawatankuasa perhubungan negeri itu yang bertindak keluar parti, semalam.

Bercakap kepada Free Malaysia Today, beliau berkata, ia juga satu tamparan besar buat kumpulan pemimpin yang meninggalkan Umno selepas pemimpin utama PH tidak mahu mereka menyertai mana-mana parti komponen kerajaan.

“Umno banyak jasa pada rakyat Sabah dan kita tidak boleh tinggalkan begitu sahaja. Ahli Umno Sabah ada ramai, dekat 500,000 orang. Menjadi satu kesilapan meninggalkan perjuangan parti dan ahli mereka tanpa hala tuju.

“Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar juga sudah bersuara supaya tidak menerima mereka masuk dalam PH,” katanya hari ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, biarpun lebih 30 pemimpin termasuk bekas Pengerusi Umno Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor meninggalkan parti, beliau yakin Umno di negeri itu akan bangkit dan bertambah kuat berbanding pimpinan terdahulu.

Katanya, jika gerak kerja disusun dengan baik ditambah dengan kekuatan pemimpin muda sedia ada, nescaya Umno Sabah akan dapat dipulihkan.

“Saya berkeyakinan sebab telah berhubung dengan beberapa pemimpin muda kita, ketua Pemuda, naib ketua bahagian, timbalan ketua bahagian yang masih bersama, mereka yakin dengan kita.

“Sebab majoriti pemimpin yang kita ketengahkan adalah pemimpin-pemimpin yang dulu dipinggirkan tidak diberi tempat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!