Pengunjung Bazar Ramadan Rahmah terima insentif e-dompet

Fuziah (tengah) membantu memasukkan sayuran di dalam bubur lambuk sempena Ramadan di Pasar Tani UTC di sini pada Ahad.
Fuziah (tengah) membantu memasukkan sayuran di dalam bubur lambuk sempena Ramadan di Pasar Tani UTC di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 96,000 pengunjung di Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara akan menerima insentif e-dompet (e-wallet) sebanyak RM20 seorang sepanjang Ramadan bermula minggu depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, insentif terbabit melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM2 juta yang disalurkan melalui kementerian itu.

Menurutnya, pemberian itu akan diberikan kepada 1,000 pengujung terawal di bazar terpilih menerusi operator atau penyedia e-dompet yang bekerjasama dengan kementeriannya.

"Kita akan laksanakan pemberian itu sebanyak enam kali di setiap negeri. Ini bermakna 6,000 pengunjung akan menerima manfaat daripada inisiatif itu.

"Namun begitu, pengunjung hanya akan dapat sekali sahaja insentif berkenaan.

"Insentif ini sebenarnya bagi membantu meringankan beban rakyat, selain mendidik masyarakat supaya berbelanja menggunakan e-dompet sekali gus menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai," katanya.

Fuziah membuat semakan harga sayuran-sayuran ketika mengadakan lawatan di Pasar Tani UTC di bandaraya ini pada Ahad.
Fuziah membuat semakan harga sayuran-sayuran ketika mengadakan lawatan di Pasar Tani UTC di bandaraya ini pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Agihan Bubur Lambuk Sempena Ramadan di Pasar Tani di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang Saiful Sadri.

Fuziah memaklumkan kementeriannya menyasarkan 50 bazar Ramadan Rahmah akan dibuka di seluruh negara.

Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak 29 bazar di seluruh negara telah berdaftar dan bermula beroperasi seawal 23 Mac ini.

"Di Kuantan kita masih belum mendapat maklumat balas di mana lokasi Bazar Ramadan Rahmah ini akan di buka, tetapi kita akan mencari lokasi yang didiami golongan B-40.

"Setiap bazar mempunyai 30 gerai dan peniaga menawarkan penjimatan makanan sebanyak 30 peratus dan Menu Rahmah," ujarnya.

Bazar Ramadan Rahmah juga akan dipantau menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan harga terkawal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!