Kementerian Sumber Manusia cuba selesaikan penamatan PLKS
Menterinya, V. Sivakumar berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dan mengemukakan permohonan mengenai perkara tersebut dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub minggu lepas.
"Sejak Januari lepas, beberapa organisasi serta pertubuhan perniagaan yang terlibat (gedung tekstil, kedai gunting rambut dan kedai emas) bertemu dengan saya dan meminta supaya penamatan pekerja asing yang dibekukan dapat dibuka semula.
"Oleh itu, saya berharap satu pertimbangan dan keputusan yang positif akan dibuat dengan segera setelah saya kemukakan permohonan tersebut kepada kedua-dua menteri berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 2nd International Tamil Classical Music Conference 2023 di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Beliau diminta mengulas mengenai arahan dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung perkhidmatan pekerja asing menggunakan PLKS di ketiga-tiga sektor berkenaan ditamatkan secara berperingkat.
Menurut Pekeliling JIM bertarikh 28 Februari lepas, majikan subsektor kedai tekstil, kedai gunting dan kedai emas tidak lagi dibenarkan memperbaharui permit PLKS untuk pekerja mereka berkuat kuasa 15 Mac, namun surat pekeliling itu tidak memperincikan sebab di sebalik penamatan itu.
Pengusaha perniagaan terbabit meminta supaya kerajaan menarik balik arahan itu yang dikatakan memberi impak kepada kelangsungan perniagaan mereka.
Dianggarkan ketiga-tiga subsektor tersebut memerlukan 15,000 pekerja asing bagi memastikan kelancarannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!