Buang al-Quran: Polis selesai ambil keterangan 14 individu

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 14 individu termasuk tiga penerbit dan tiga pencetak telah pun selesai memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran dipercayai sengaja dibuang ke dalam longkang berhampiran tasik lombong di Jinjang, di sini bulan lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis kini masih dalam proses melengkapkan siasatan kes berkenaan dan sedang berusaha mengesan pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Kami masih belum dapat punca sebenar al-Quran ini dari mana dan polis masih berusaha mengesan serta mengenal pasti pihak yang terlibat dengan pembuangan al-Quran secara tidak berhemah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan pembuangan al-Quran di dalam longkang selepas hadir pada program High Profile Policing sempena Peringatan Hari Polis yang ke-216 di KLCC di sini pada Ahad.

Sebelum ini, satu video tular di laman sosial yang memaparkan seorang individu mengutip beberapa naskhah al-Quran, dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab di dalam longkang berhampiran lombong Taman Sri Murni di Gombak sehingga menimbulkan perasaan marah dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298 A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian atas agama.

Sementara itu, beliau sekali lagi turut menegaskan amaran yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani Jumaat lepas bahawa polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang membangkitkan isu perkauman.

"Polis tidak akan membiarkan ibu kota warga Kuala Lumpur dan Putrajaya diganggu-gugat keselamatan serta ketenteramannya susulan sentimen perkauman.

"Saya tidak kompromi dengan isu ini (sentimen perkauman) maka saya harap masyarakat dapat menyokong dengan apa yang polis sasarkan iaitu menjaga ketenteraman keharmonian ibu kota ini,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu meniupkan sentimen kaum dan agama, dan telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk berwaspada bagi menjaga keamanan negara agar ia tidak digunakan untuk menimbulkan kekacauan.

Susulan itu, Acryl Sani memberi jaminan bahawa tahap keselamatan negara terkawal serta menzahirkan komitmen dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara berterusan, demi memastikan keselamatan kekal terjamin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!