NS kaji perluas inisiatif bas percuma kepada pelajar sekolah
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan sedang menilai untuk memperluaskan inisiatif perkhidmatan bas percuma khusus untuk menghantar dan mengambil pelajar dari sekolah.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, ia bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa terutama golongan B40.
"Kita sedia maklum antara kos paling tinggi yang perlu ditanggung ibu bapa selain menyediakan seragam sekolah ialah kos pengangkutan menghantar anak ke sekolah.
"Jadi kita sedang mengkaji bagaimana boleh membantu meringankan beban ibu bapa terutama golongan B40 terutama dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang," katanya selepas melancarkan Platform Al-Jariyah di Surau Taman Dato Wan di sini pada Ahad.
Menurut Mohamad Rafie, adalah lebih baik kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan untuk menghantar anak-anak ke sekolah memandangkan pada hari biasa tidak ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.
Ujarnya, pihaknya menyedari komitmen yuran bas sekolah yang perlu ditanggung setiap bulan dilihat agak membebankan bagi sesetengah ibu bapa.
"Inisiatif bas percuma telah disediakan pada tahun 2019 dan ia bermula di Seremban. Kini laluan perkhidmatan itu telah pun ditambah.
"Jadi kita sedang fikirkan bagaimana untuk kita gunakan bas ini untuk menghantar anak-anak ke sekolah pula sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di sekolah," katanya.
Mohamad Rafie berpendapat, perkara itu perlu diberi tumpuan kerana keupayaan menyediakan kemudahan pendidikan untuk anak-anak merupakan pelaburan masa depan.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kali pertama kerajaan negeri melancarkan perkhidmatan bas percuma di Bandar Seremban pada tahun 2019 dan kini mempunyai tiga laluan melibatkan dua daerah iaitu Seremban dan Jempol.
Difahamkan kerajaan negeri akan menambah laluan dari masa ke semasa terutama di kawasan luar bandar.
Sementara itu berkenaan Platform Al-Jariyah, beliau berkata ia adalah aplikasi yang dibangunkan oleh syarikat DagangTEK Sdn Bhd bagi memudahkan masyarakat untuk menyumbang kepada institusi masjid, rumah kebajikan atau pusat pengajian tahfiz.
Katanya, antara kemudahan yang disediakan adalah untuk infaq, wakaf, khairat dan akikah serta korban.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!