Tiga murid Melayu bersemangat belajar di SJKC
KOTA BHARU - Murid Darjah Satu Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa di sini teruja memulakan sesi pembelajaran 2023/2024 dan bertemu rakan baharu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, mereka tidak kekok berbual dan sudah saling mengenali kerana sebelum ini mendapat pendidikan di Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) di sekolah itu.
Puteri Nur Iris Daamia Che Khalid, 7, yang ditemui gembira kerana dapat bertemu semula rakan-rakan selepas cuti persekolahan kira-kira sebulan.
Puteri Nur Iris merupakan salah seorang daripada tiga murid Melayu yang berada di kelas itu.
Dia dan rakan sekelas dilihat aktif mengikut arahan guru kelasnya, Chua Kim Li.
Kanak-kanak itu memberitahu, sudah ada kawan di sekolah kerana sebelum ini dia belajar di tadika di sekolah sama.
"Saya tidak takut kerana belajar tadika dan sudah kenal kawan-kawan," katanya.
"Hari ini ibu menghantar saya ke sekolah. Saya juga perlu bangun awal pagi kerana sudah masuk Darjah Satu," katanya.
Rakannya, Louis Yeap Zirui, 7, pula datang bersama ibunya yang juga tenaga pengajar di sekolah berkenaan.
Louis yang agak pemalu ketika ditanya bagaimanapun teruja belajar dan menggunakan alat bantuan mengajar yang disediakan guru.
"Seronok bertemu kawan dan bermain di sekolah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!