54 muka baharu terpilih Ketua UMNO Bahagian

Shahrir ketika sidang akhbar keputusan Pemilihan UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini pada Ahad.
Shahrir ketika sidang akhbar keputusan Pemilihan UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 30 peratus atau 54 muka baharu yang terpilih sebagai Ketua UMNO Bahagian dalam pemilihan kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Ab Samad berkata, jumlah itu melibatkan hampir semua bahagian di seluruh negara kecuali Sabah menunjukkan dinamik perubahan politik dalaman parti tersebut.

“Satu perkara yang harus saya terangkan, perubahan daripada segi kepimpinan di peringkat bahagian, terdapat sehingga 54 muka baharu. Ini menunjukkan betapa dinamiknya bila kita mengadakan pemilihan.

“Muka baharu ini melibatkan 29 peratus daripada jumlah bahagian atau secara rambangnya, hampir 30 peratus muka baharu. Ia bukan berlaku di satu negeri sahaja tetapi berlaku secara keseluruhan.

“Kalau dilihat sekarang, Wilayah Persekutuan melibatkan enam muka baharu, Melaka (3), Kedah (5), Pulau Pinang (2), Kelantan (5), Negeri Sembilan (2), Pahang (5), Johor (10), Perak (4), Selangor (6), Perlis (3) dan Terenggau (3).

“Kalau di peringkat negeri kita buat tinjauan yang lebih mendalam, kita boleh kaji macam mana boleh ada sehingga 10 bahagian di Johor misalnya, ada muka baharu,” katanya ketika sidang akhbar keputusan Pemilihan UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini pada Ahad.

Antara muka baharu bagi ketua bahagian ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) dan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh (Jasin).

Selain itu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya (Kangar); Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohd Nor (Pasir Mas) dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar).

Turut terpilih, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun (Pasir Salak) dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii (Seputeh).

Pada sidang akhbar itu, Shahrir turut mengumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menang jawatan Naib Presiden.

Bagi jawatan Pengerusi Tetap UMNO pula, dimenangi oleh Tan Sri Badruddin Aminuddin manakala timbalannya, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!