Perak perkenal Bazar Ramadan Rahmah di Ipoh

Saarani (tengah) melancarkan Menu Rahmah ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna 2023 Peringkat Negeri Perak di Pasaraya Lotus's Bercham pada Ahad.
Saarani (tengah) melancarkan Menu Rahmah ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna 2023 Peringkat Negeri Perak di Pasaraya Lotus's Bercham pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kawasan People's Park di sini akan menjadi lokasi pertama Bazar Ramadan Rahmah di Perak sempena bulan Ramadan nanti.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan berkerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi menganjurkan bazar Ramadan tersebut.

Menurutnya, seramai kira-kira 20 peniaga akan terlibat menjual pelbagai jenis Menu Rahmah di situ.

"Kerajaan sentiasa prihatin dengan permasalahan rakyat dan terus komited untuk membantu rakyat.

"Ini satu inisiatif kepada seluruh masyarakat di Ipoh untuk menikmati juadah berbuka puasa yang berkualiti dengan harga yang berpatutan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna 2023 Peringkat Negeri Perak di Pasaraya Lotus's Bercham di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail.

Saarani berkata, selain di Bazar Ramadan Rahmah, kerajaan negeri menggalakkan peniaga di bazar Ramadan lain untuk memperkenalkan Menu Rahmah.

Saarani (dua dari kiri) melihat Menu Rahmah yang diperkenalkan ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna 2023 Peringkat Negeri Perak di Pasaraya Lotus's Bercham pada Ahad.
Saarani (dua dari kiri) melihat Menu Rahmah yang diperkenalkan ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna 2023 Peringkat Negeri Perak di Pasaraya Lotus's Bercham pada Ahad.

Menurutnya, kerajaan tidak memaksa peniaga untuk memperkenalkan Menu Rahmah di premis masing-masing sebaliknya ia bergantung kepada kemampuan.

Sementara itu, beliau menjelaskan sehingga kini sebanyak 244 premis di Perak yang menawarkan Menu Rahmah.

Pada 22 Februari lalu, Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bagi melaksanakan Bazar Ramadan Rahmah di beberapa lokasi strategik sempena bulan Ramadan ini.

Sehubungan itu, beberapa lokasi telah dikenal pasti yang akan turut menawarkan kadar sewa berpatutan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!