Tukang rumah ditahan miliki senapang patah, dadah

No Image Caption
A
A
A

KUALA KRAI - Polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah kerana memiliki selaras senapang patah buatan sendiri, peluru hidup dan 60 biji pil kuda dalam kereta di sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam, anggota yang bertugas di SJR menahan kereta Perodua Alza dipandu suspek yang bekerja sebagai tukang rumah dari arah Pasir Kelang menghala ke tempat kerjanya di Gua Musang.

"Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan suspek menemukan selaras senapang patah, 32 butir peluru hidup jenis bore 12 dan 60 biji pil kuda yang dipercayai untuk dijual kepada penagih dadah.

"Selain itu, siasatan awal juga mendapati suspek mengaku senapang patah yang dimilikinya itu adalah buatan sendiri dan menggunakannya untuk memburu binatang di hutan sejak April 2022 sehingga sekarang," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Suzaimi berkata, suspek turut mengaku membeli peluru hidup melalui kenalannya yang juga warganegara Thailand di sempadan Rantau Panjang-Golok.

"Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 24 Mac depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 15(1)(A) ADB 1952, Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!