'Boleh jadi aktivis tapi jangan jadi macai' - Anwar
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya tidak akan menyekat kebebasan mahasiswa untuk bersuara selagi mana ia tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
Bagaimanapun jelas Ahli Parlimen Tambun itu, kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang membangkitkan isu perkauman atau agama dengan kepentingan tertentu.
"(Mahasiswa) boleh jadi aktivis (perjuangkan hak mahasiswa) tetapi jangan jadi macai (atau) walaun.
"Saya hendak pastikan Kerajaan Perpaduan dengan warga Madani (tidak akan menyekat) sekiranya sesiapa ingin bercakap tentang perjuangan (mahasiswa).
"Tetapi kalau permainkan kaum dan agama (saya ulangi) akan ambil tindakan tegas," katanya ketika Dialog Anak Muda - Temu Anwar yang berlangsung di sini pada Ahad.
Anwar dalam masa sama turut mengimbau sejarah panjang pembabitan dirinya dalam politik ketika masih bergelar mahasiswa sehingga turut dimasukkan ke dalam penjara.
Justeru katanya, sebagai memahami kehendak mahasiswa, kerajaan pimpinannya tidak akan mengambil tindakan terhadap aktivis yang memperjuangkan hak mereka.
Sementara itu, ribuan peserta yang rata-ratanya golongan muda menghadiri dialog yang julung kali diadakan sejak Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bergelar Perdana Menteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!