Nazifuddin harap tiada perbalahan selepas pemilihan UMNO
LANGKAWI - Ketua UMNO Bahagian Langkawi yang baharu, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berharap mereka yang tewas pada pemilihan bahagian tersebut terus bersama bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, beberapa program yang memberikan manfaat kepada ketua cawangan dan UMNO Langkawi serta aktiviti untuk menambahkan keahlian parti bahagian akan diadakan dalam masa terdekat.
"Saya juga ingin merapatkan saf antara semua yang terlibat dan menyatukan parti ini untuk bersedia menghadapi PRN yang akan datang.
"Saya harap tiada perbalahan selepas pemilihan ini. Kita ke depan dan bersedia menjadi satu keluarga yang besar untuk berhadapan PRN bersama dengan Kerajaan Perpaduan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Nazifuddin menang jawatan Ketua Bahagian UMNO Langkawi selepas menewaskan Nor Saidi Nanyan dengan majoriti tipis 12 undi.
Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ini bakal dibantu Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Armishah Siraj dan Naib Ketua Bahagian, Umi Kalsum Abd Mutalib.
Ujar beliau, penghargaan turut diberikan kepada ahli UMNO Bahagian Langkawi bagi memastikan pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 berjalan lancar.
"Saya sangat menghargai setiap undi yang diberikan kepada saya untuk memperoleh kemenangan ini. Terima kasih juga kepada ibu bapa saya yang mendoakan dan memberikan saya semangat untuk melalui segala rintangan dan cabaran di dalam pemilihan kali ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!