Kerajaan jamin hapus peruntukan AUKU sekat kebebasan mahasiswa
KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan akan menghapuskan peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah.
Bercakap ketika Dialog Anak Muda - Temu Anwar yang berlangsung di sini pada Ahad, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, perkara itu juga akan dibincangkan bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Anwar dalam masa sama turut berkongsi bahawa penubuhan akta sejak lebih 50 tahun lalu itu adalah disebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ingin menyekat dirinya daripada memasuki universiti.
"Sekarang ini keputusan kita adalah untuk beri kebebasan akademik dan saya sudah berbincang dengan (Mohamed) Khaled.
"Saya (juga) akan beri jaminan peruntukan yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan salah seorang peserta Dialog Anak Muda - Temu Anwar yang memintanya menyatakan pendirian mengenai AUKU.
Pada 24 Februari lalu, menurut laporan sebuah portal, Mohamed Khaled memaklumkan bahawa kerajaan tiada cadangan untuk memansuhkan AUKU.
Menurut Mohamed Khaled, undang-undang itu masih relevan terutama dalam soal pentadbiran universiti dan kerajaan juga terbuka untuk menambah baik serta melibatkan pihak berkepentingan dalam AUKU.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!