Kerajaan masih teliti implikasi penggunaan kanabis - PM
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan masih meneliti secara keseluruhan mengenai implikasi penggunaan kanabis dalam bidang perubatan sebelum sesuatu ketetapan diambil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pandangan pihak terlibat dalam isu ini penting untuk diambil kira kerana ia melibatkan masa depan rakyat khususnya golongan muda.
"Di Thailand antara yang menggagaskan (melaksanakan) halal kanabis. Itu pun tidak ada konsesus.
"Di sini pun kita harus teliti betul-betul. Sebaik kita halalkan dengan hujah-hujah kuat juga, kita boleh kawal anak-anak muda di kampung umpamanya yang menjadi penagih ini bukan sekadar ambil sedikit atau sebagainya.
"Jadi, kita harus teliti secara keseluruhannya. Saya ada pandangan keras tentang itu. Saya minta kita buka ruang dan bincang dengan betul-betul implikasinya," katanya ketika Dialog Anak Muda - Temu Anwar di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan salah seorang peserta dialog yang memintanya menyatakan pendirian berhubung penggunaan kanabis dalam bidang perubatan.
Sementara itu, menjawab soalan yang dibangkitkan peserta mengenai tempoh menunggu sehingga tiga tahun sebelum seseorang graduan dipanggil untuk temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Anwar menjelaskan perkara itu bergantung kepada kekosongan yang ada.
"Jadi, kalau kita kata semua graduan itu yang masuk kerja (SPA), jadi kita akan membengkak jadinya penjawat awam.
"SPA itu macam syarikat, kalau kata perlukan 400 orang (maka 400 orang itulah yang isi kekosongan)," katanya.
Bagaimanapun Anwar menjelaskan, jumlah penjawat awam akan ditambah tertakluk kepada keupayaan kerajaan memacu pembangunan ekonomi.
"Kalau ekonomi itu dipacu dengan lebih baik, maka peluang pekerjaan akan bertambah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!