Lori kontena terbalik, Lebuhraya Karak sesak hampir dua jam
SHAH ALAM - Sebuah lori kontena yang terbalik di Kilometer (KM) 74.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke Bentong menyebabkan pengguna laluan itu terperangkap dalam kesesakan trafik selama hampir dua jam.
Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menerusi hantaran di Facebook pada Ahad memaklumkan, lori berkenaan didapati menutup laluan kecemasan dan lorong perlahan.
Menurutnya, lorong kanan di KM 74.3 (Karak-Bentong) ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan tumpahan diesel di lokasi kejadian.
“Pengguna disarankan menggunakan laluan susur yang telah ditetapkan.
“Sila pandu dengan berhemah dan patuhi arahan petugas di lokasi,” katanya.
Dalam pada itu, rata-rata netizen turut meluahkan pandangan berhubung kemalangan yang kerap berlaku membabitkan kenderaan berat seperti lori menerusi ruangan komen di Facebook LPT.
Antaranya, pengguna dengan nama akaun Aniza Pilus berharap agar pihak berkuasa membuat pemantauan dan tidak membenarkan lori melalui lebuh raya pada hujung minggu.
“(Kepada) pihak yang berwajib, lori-lori jangan dibenarkan lalu pada hari minggu. Setiap minggu selalu sesak.
“Tol bayar, diharapkan pihak berwajib buatlah tindakan,” katanya.
Ujar Farizul Hanid pula, hampir setiap minggu dia akan menyaksikan kemalangan membabitkan lori yang dipandu dengan laju.
“Setiap minggu ada sahaja kemalangan. Lori ni memang bawa laju ke? Baru minggu lepas balik Kuantan, boleh pula duduk (bawa di) laluan kanan (dengan kelajuan) 120 km/j,” luahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!