Kerajaan timbang 'pecah' monopoli Touch n Go
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan meneliti kembali monopoli sistem pembayaran, Touch n Go (TNG) di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berikutan wujud permasalahan yang sering dibangkitkan membabitkan sistem berkenaan.
"Touch n Go telah beroperasi lebih daripada dua dekad (20 tahun) tetapi tidak ada ada progres (ditambah baik) dalam sistem.
"Saya fikir anda betul dan kita akan menimbang kembali (monopoli dalam TNG)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dibangkitkan salah seorang peserta Dialog Anak Muda - Temu Anwar yang diadakan di sini pada Ahad.
Menerusi dialog itu, seorang peserta membangkitkan persoalan sama ada kerajaan berhasrat untuk menamatkan monopoli TNG.
Dianggarkan terdapat lebih 20 juta kad Touch n Go dalam edaran yang mewakili hampir 91 peratus transaksi di 31 lebuh raya di seluruh negara.
Sementara itu, program Temu Anwar merupakan medan untuk memberi peluang kepada sesiapa sahaja terutamanya anak muda bertanyakan soalan terus kepada Presiden Pakatan Harapan (PH) itu tanpa halangan yang dimulakan sejak 2009.
Acara yang berlangsung dengan kehadiran ribuan peserta itu julung kali diadakan sejak Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!