13 cedera, seorang parah kemalangan empat kenderaan

Tangkap layar video mengenai kemalangan yang berlaku di KM 139.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Pagoh pada Ahad.
Tangkap layar video mengenai kemalangan yang berlaku di KM 139.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Pagoh pada Ahad.
A
A
A

MUAR - Seramai 14 individu cedera termasuk seorang daripadanya parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 139.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Pagoh di sini, pada Ahad.

Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres, dua kenderaan utiliti sukan (SUV) dan van persiaran yang membawa pelancong dari Singapura.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas ekspres bergerak di lorong kiri melanggar van persiaran sebelum melanggar pula dua SUV yang berada di hadapan.

“Perlanggaran itu menyebabkan pemandu bas ekspres mengalami cedera ringan manakala kesemua 28 penumpang bas berkenaan tidak mengalami kecederaan.

“Selain itu, seramai 11 pelancong dari Singapura mengalami cedera ringan sementara seorang lagi parah, sementara pemandu van persiaran itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Turut cedera pemandu salah sebuah SUV," katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pakar Fatimah Muar, untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, pemandu bas ekspres telah diminta untuk menjalani ujian air kencing termasuk pemeriksaan bagi mengesan kadar alkohol.

"Buat masa ini polis juga sedang menunggu laporan sebelum membuat sebarang tangkapan termasuk memanggil saksi (individu yang tidak cedera), untuk memberikan keterangan berhubung kemalangan berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!