Senaraikan buku sekolah wajib beli supaya tak membazir
HARI ini sesi persekolahan musim baharu telah dibuka sepenuhnya. Merak Jalanan yakin ramai ibu bapa yang masih janggal kerana sesi persekolahan bermula pada bulan Mac dan bukan Januari seperti sebelum pandemik.
Lama-lama nanti biasalah tu sehingga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susun semula jadual baharu.
Bercerita mengenai sesi persekolahan 2023/2024, banyak isu dibangkitkan oleh ibu bapa seperti harga makanan di kantin, tambang pengangkutan, prasarana, tandas dan macam-macamlah.
Tapi kali ini Merak Jalanan nak sentuh pasal buku aktiviti. Bukan apa, ada segelintir ibu bapa mengeluh bila tengok buku aktiviti anak-anak masih banyak yang tidak digunakan.
Walhal, buku-buku itu dibeli dari koperasi sekolah mengikut senarai buku yang perlu dibeli oleh pihak sekolah.
Ibu bapa dah tentulah nak yang terbaik untuk anak masing-masing, jadi apa sahaja buku yang diminta beli, pasti akan dibeli. Sebab apa? Kerana tak mahu anak-anak ketinggalan di dalam kelas.
Jadi belilah juga walaupun mungkin ada ibu bapa terpaksa berjimat kerana mahu membeli buku aktiviti tersebut.
Jika buku aktiviti digunakan sepenuhnya tak mengapa juga. Berbaloi dengan wang yang dikeluarkan. Yang jadi masalah bila ada buku aktiviti yang disentuh langsung. Masih elok seperti mula-mula dibeli.
Sebagai ibu bapa, mestilah akan ligat berfikir, sama ada anak tak buat kerja sekolah atau cikgu memang tak gunakan buku tersebut.
Apa guna beli buku aktiviti banyak-banyak tapi tak digunakan atau mungkin ada guru lebih selesa dengan buku aktiviti daripada penerbit lain untuk lebih variasi. Bagus memang bagus tapi yang terbeban adalah ibu bapa terutama yang kurang mampu atau masih banyak lagi tanggungan.
Jadi, Merak Jalanan harap untuk sesi sekolah kali ini, gunakanlah kesemua buku yang diminta beli. Jangan dah beli tapi akhirnya jadi perhiasan sahaja. Tahun depan beli lagi dan begitulah seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!