Iktibar daripada drama bersiri Projek: High Council
DEMAM drama bersiri Projek: High Council nampaknya masih berterusan walaupun ia sudah tamat. Ya, walaupun sudah ditayangkan episod akhir, kita masih boleh lagi menonton melalui platform yang disediakan.
Memang tidak dinafikan, jalan cerita drama tersebut sangat menarik dan terbaik yang mengangkat kisah zaman persekolahan. Sudah tentu sasaran penonton pula adalah golongan pelajar sekolah.
Bagi ibu bapa yang belum berkesempatan menonton Projek: High Council, jangan berlengah lagi. Ajaklah anak-anak untuk turut sama menonton kerana banyak iktibar dan pengajaran boleh diambil daripada isu yang diketengahkan.
Projek: High Council tanpa berselindung membongkar kisah gelap kewujudan kumpulan gengsterisme yang sehingga kini menjadi realiti sebahagian besar pelajar-pelajar sekolah asrama.
Sedikit sebanyak ia dapat membuka mata masyarakat tentang permasalahan sebenar yang terjadi dalam kalangan pelajar terutama yang tinggal di asrama penuh.
Menerusi drama tersebut, ibu bapa boleh menasihati anak-anak agar jangan melakukan perkara-perkara merosakkan, yang tidak elok dan paling penting, jangan buli anak orang.
Mungkin ada yang mempertikaikan drama itu memberi gambaran tidak baik seperti ‘galakan’ kepada golongan remaja tetapi ambillah ia dari sudut positif, yang memberi pengajaran dan lebih kefahaman tentang apa yang berlaku.
Sebenarnya, daripada dahulu hinggalah sekarang, isu buli terutama melibatkan pelajar sekolah masih lagi tiada kesudahan.
Boleh dikatakan setiap tahun isu tersebut hangat diperkatakan di media sosial, malah terus mendapat liputan media dari masa ke masa.
Ada kes buli dilaporkan sehingga mangsa meninggal dunia atau mengalami pelbagai komplikasi kesihatan dan kecederaan fizikal serta mental.
Paling menyedihkan, apabila kes buli sentiasa bermula di sekolah yang merupakan tempat untuk hidup berdikari dan juga adalah permulaan kehidupan sebelum melangkah ke alam kerjaya.
Sehingga kini, belum ada titik noktah untuk masalah sosial yang membimbangkan ibu bapa ini. Walaupun banyak kes dilaporkan dan diambil pelbagai tindakan, ia tetap terus berulang.
Tidak pasti, sama ada langkah pencegahan yang diambil selama ini kurang berkesan sehingga belum mampu untuk menangani masalah buli di negara kita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!