Selamat kembali semula ke sekolah

Gelagat murid-murid yang dirakamkan pada hari pertama persekolahan sesi 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Udahari. - Foto: Bernama
Gelagat murid-murid yang dirakamkan pada hari pertama persekolahan sesi 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Udahari. - Foto: Bernama
A
A
A

SESI persekolahan 2023/2024 yang bermula pada Ahad bagi negeri Kumpulan A dan hari ini bagi negeri Kumpulan B mengundang pelbagai reaksi terutama ibu bapa.

Timbul keluhan mengenai harga barangan sekolah terutama pakaian seragam yang naik mendadak pada tahun ini.

Kebanyakan ibu bapa mengakui mereka terpaksa berbelanja lebih untuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anak, malah ada yang perlu memperuntukkan lebih RM200 bagi kelengkapan seorang anak.

Penulis juga berdepan situasi sama ketika membeli barangan sekolah empat orang anak. Walaupun selepas potong apa yang tidak menjadi keutamaan, masih terasa lagi beban kenaikan harga tersebut.

Keadaan itu menyebabkan ada ibu bapa memilih buat persiapan sekolah anak-anak sekadar apa yang ada dan beli keperluan penting sahaja kerana umat Islam juga bakal menyambut Ramadan sedikit hari lagi.

Lebih terasa terbeban tentulah keluarga yang menjadi mangsa banjir di beberapa negeri. Banyak kos yang perlu difikirkan.

Sehubungan itu, keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kelonggaran kepada murid dan pelajar kurang mampu serta yang terlibat banjir untuk hadir ke sekolah pada sesi persekolahan baharu meskipun tidak dapat menyediakan pakaian seragam sekolah wajar diberikan pujian.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran tersebut diberikan bagi memudahkan ibu bapa terutama mereka yang terkesan akibat banjir.

“Dalam konteks di Johor misalnya, kita beri ruang kepada mereka supaya datang ke sekolah walaupun tanpa memakai pakaian seragam.

“Yang penting asalkan berbaju, sebab kita tak nak beban hanya soal baju (seragam) itu, mereka dinafikan daripada pendidikan,” kata Fadhlina.

Ibu bapa yang terkesan dengan bencana pasti tersenyum lebar dengan pengumuman tersebut, sementelah mungkin ada persiapan persekolahan awal yang dibuat oleh mereka dihanyutkan arus banjir.

Itu kisah persiapan ke sekolah. Satu lagi cabaran ialah terpaksa buat kira-kira untuk senarai buku. Ada ‘list’ penuh satu kertas A4, malah ada yang penuh halaman depan belakang senarainya yang perlu dibeli di koperasi sekolah.

Ramai ibu bapa bersungut banyak buku tak perlu beli pun. Tidak dinafikan ada beli apa yang perlu sahaja, tidak ikut sangat senarai disediakan tetapi ada ibu bapa terutama anak-anak yang baru masuk Tahun 1 memang akan membeli buku berdasarkan senarai daripada pihak sekolah.

Dahulu penulis pun sama ketika anak-anak baru masuk sekolah rendah di Selangor sehingga satu tahap, penulis pelik murid Tahun 1 terpaksa beli buku tulis sampai 10 buah, walhal buku-buku tersebut tidak digunakan langsung.

Kini setelah masuk tahun kedua anak-anak pindah sekolah, penulis sudah tidak terima senarai berjela buku-buku yang ‘diwajibkan’ beli, sebaliknya guru-guru hanya memaklumkan buku apa yang akan mereka guna dan boleh diperoleh di kedai-kedai alat tulis.

Bukan hanya sekolah rendah, sekolah menengah juga sama. Kalau pun ada senarai melibatkan 11 perkara, empat daripadanya tidak perlu untuk pelajar menengah atas.

Kesimpulannya, pihak sekolah boleh membantu ibu bapa untuk berjimat memandangkan ibu bapa telah berhabisan untuk belanja kelengkapan sekolah anak-anak.

Bukan tidak mampu untuk sediakan semua itu, malah penulis yakin semua ibu bapa mahu yang terbaik untuk anak-anak mereka tetapi dengan kekangan kos hidup ketika ini, tidak salah untuk semua pihak saling membantu agar anak-anak tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan terbaik.

Selain kelonggaran dari segi pakaian seragam, pujian juga harus diberikan kepada KPM yang membuat pengumuman bahawa tiada kelas akademik diadakan pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024.

Pengumuman tersebut dilihat yang terbaik dalam memberi ruang kepada guru-guru dan murid untuk sesi suai kenal serta interaksi pada awal persekolahan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, minggu tersebut akan diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek.

Ramai juga yang sambut baik pengumuman tersebut tetapi tidak kurang pula ada berpendapat, penerapan nilai-nilai tersebut sesuai untuk murid Tahun 1 dan pelajar Tingkatan 1 sahaja.

Tetapi bagi penulis, anak-anak masih dalam mood cuti. Relevan juga untuk minggu pertama persekolahan diisi dengan program-program yang lebih santai dan tidak membebankan fikiran.

* Wan Rosida Wan Hamad ialah Editor Pengisian Sinar Online.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!