Sasaran 31 peratus tenaga boleh baharu tumpuan hari ini

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Langkah-langkah dan kos pelaksanaan bagi mencapai sasaran 31 peratus tenaga boleh baharu dalam kapasiti terpasang pada tahun 2025, antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, soalan itu dibangkitkan Wong Shu Qi (PH-Kluang) pada sesi soal jawab kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) pula bertanyakan sama ada penubuhan Bursa Aset Karbon di Kuala Lumpur menjejaskan hak Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Bursa Aset Karbon di negeri masing-masing serta perniagaan Karbon Kredit dihasilkan oleh kedua-dua negeri itu.

Turut tersenarai, soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai usaha dan kerjasama rentas kementerian yang sedang dirancang bagi meningkatkan pembangunan belia selaras dengan Model Baharu Pembangunan Belia 2030 (MBPB2030) yang akan dilancarkan tahun ini.

Selain itu, Datuk Seri M Saravanan (PH-Tapah) ingin tahu langkah proaktif yang akan menjadi fokus kerajaan supaya kuarters pekerja berpusat (CLQ) dijadikan alternatif utama dan menyediakan CLQ yang memenuhi standard ditetapkan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan, sebagai syarat bagi penggajian pekerja asing pada masa depan.

Soalan berhubung hak rawatan Orang Kurang Upaya (OKU) yang terlibat dalam masalah penagihan dadah dan sama ada kerajaan akan membina pusat pemulihan khusus untuk OKU dijangka diajukan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) kepada Menteri Dalam Negeri.

Selesai sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan hari kelima perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa. - Bernama