Mangga dari Kemboja dirampas
SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 50 kilogram (kg) mangga dari Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Khamis lalu.
Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, cubaan membawa masuk mangga oleh sekumpulan warga tempatan itu terbongkar hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
"Kosainan tersebut dikesan dengan bantuan mesin pengimbas kastam kira-kira jam 6.30 petang.
"Maqis telah merampas mangga itu kerana tidak mempunyai permit import Maqis serta sijil fitosinasi yang sah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, perbuatan mengimport produk pertanian tanpa permit yang sah daripada Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.
Katanya, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya.
"Pihak Maqis akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam Malaysia adalah bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta tidak akan menjejaskan sektor pertanian negara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!