Pekeliling baharu KPM: Ibu bapa positif, anak-anak teruja
PETALING JAYA - Pekeliling baharu yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak mengadakan kelas akademik pada minggu pertama sesi persekolahan mendapat respons positif ibu bapa.
Menurut mereka, perkara tersebut adalah satu pembaharuan baik yang dilakukan supaya anak-anak dapat menyesuaikan diri di tempat baharu.
Pekerja swasta, Kumaresan M Mariapan, 40, berkata, ia adalah penting supaya anak-anak terutama tahun 1 dapat mengenali rakan-rakan sekelas.
“Saya sangat setuju dengan pembaharuan ini. Pada minggu pertama pelajar dapat bersuai kenal dengan rakan baharu mereka.
“Kalau sebelum ini, mereka ada juga bersuai kenal, tetapi pada awal waktu kelas sahaja. Jadi ia sangat terhad,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Pada 15 Mac lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, tiada kelas akademik diadakan pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024.
Menurut Pkharuddin, sebaliknya ia diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pekeliling baharu itu dikeluarkan setelah penelitian yang lama agar langkah itu memberi impak kepada pihak terlibat.
Menurut Fadhlina, bukan mudah untuk kementeriannya membatalkan pekeliling asal berusia 34 tahun yang dilaksanakan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Pelajaran.
Menurut pekerja swasta, Naveendran Ramakrishnan, 42, pekeliling baharu yang diumumkan itu membuatkan para pelajar lebih teruja untuk ke sekolah.
Dia yang juga bapa kepada dua pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil PJS1, Petaling Jaya berkata, ini kerana pelajar tidak dibebankan dengan pelbagai tugasan pada minggu pertama persekolahan.
“Sebelum ini minggu pertama sekolah mereka sudah mula belajar. Apabila buat begini, pelajar akan lebih teruja sebab sesi suai kenal dan sebagainya.
“Anak-anak lebih gembira untuk hadir ke sekolah,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!