Red Bull dalam kelas tersendiri
RED Bull berada dalam kelas tersendiri apabila mengekalkan penguasaan saingan Formula Satu (F1) menerusi kemenangan satu dua Grand Prix (GP) Arab Saudi.
Kali ini tiba giliran Sergio Perez pula di depan, selepas juara bertahan yang juga rakan sepasukan, Max Verstappen unggul dalam saingan pertama pada GP Bahrain awal bulan ini.
Bagaimanapun keputusan untuk tempat ketiga tertangguh sehingga awal pagi apabila Fernando Alonso pada awalnya digugurkan daripada podium sebelum disahkan kembali di kedudukan tersebut.
Perez mengatasi Verstappen dengan kelebihan 5.355 saat dengan rakan sepasukan dari Belanda itu mengejar dari petak ke-15.
Verstappen turut mencatat pusingan terpantas pada pusingan terakhir untuk mengekalkan kedudukannya dalam kejuaraan pemandu.
Ia adalah kemenangan kelima dalam karier Perez selepas mengungguli perlumbaan di Monte Carlo dan Singapura yang menjulangnya sebagai raja litar jalan raya.
"Ia lebih sukar daripada jangkaan. Kereta keselamatan cuba merampas kemenangan daripada kami sekali lagi di sini, tetapi bukan tahun ini!.
"Pasukan melakukan tugas mereka dengan baik. Sekarang kami perlu terus berusaha," ujar Perez.
Juara dunia dua kali, Alonso mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga untuk Aston Martin bagi mencatat podium ke-100 daripada 357 perlumbaan.
Alonso pada mukanya dikenakan penalti lima saat kerana bermula di luar petak dan ketika menjalani hukuman di hentian pit, steward mendakwa jack menyentuh jentera terlalu awal dan dikenakan tambahan penalti 10 saat.
George Russel dari Mercedes naik ke tempat ketiga.
Bagaimanapun Aston Martin meminta penilaian semula dan menunjukkan rakaman insiden sama di mana tiada tindakan dikenakan.
Steward menerima permintaan mereka dan hukuman ditarik balik.
Alonso kembali ke tempat ketiga disusuli oleh Russel di kedudukan keempat dan Lewis Hamilton dari Mercedes kelima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!