[VIDEO] Pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 timbulkan ketidakharmonian - CAMU

Kira-kira 500 ahli CAMU berkumpul di hadapan bangunan Perdana Putra bagi menyertai penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri.
Kira-kira 500 ahli CAMU berkumpul di hadapan bangunan Perdana Putra bagi menyertai penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri.
A
A
A

PUTRAJAYA - Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) menyuarakan kebimbangan terhadap Rang Undang-Undang Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022 yang didakwa boleh menimbulkan ketidakharmonian di tempat kerja.

Pengerusinya, Rudy Rusly berkata, pindaan ke atas akta itu sekali gus memberi kesan negatif terhadap produktiviti yang akan membawa impak buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kepelbagaian kesatuan yang diperkenalkan kerajaan ini telah mengenepikan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2017 yang menyatakan kepelbagaian kesatuan sekerja berkenaan dengan pekerjaan sama bukanlah sesuatu yang baik (dari sudut) keharmonian industri.

"Langkah kerajaan meminda akta ini juga melanggar Analisis Kesan Peraturan (RIA) yang dikeluarkan oleh kerajaan pada 15 Julai 2013 dan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 144 mengenai perundingan tiga pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir di pekarangan bangunan Perdana Putra pada Isnin bersama 500 ahli untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar diwakili oleh Setiausaha Politiknya, Chan Ming Kai.

Rudy (kiri) menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik Anwar, Chan Ming Kai.
Rudy (kiri) menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik Anwar, Chan Ming Kai.

Rudy berkata, memorandum yang diserahkan itu memohon Anwar campur tangan bagi memastikan RUU itu ditangguhkan.

Menurutnya, sebelum ini CAMU yang mewakili 39 kesatuan sekerja telah menghantar dua pucuk surat kepada Anwar pada 1 Disember 2022 dan 2 Mac 2023 untuk mengadakan pertemuan.

"Ketika di pihak pembangkang, beliau telah memberi komitmen untuk menangguhkan bacaan RUU kali kedua dan usaha berkenaan berjaya pada ketika itu," katanya.

Pada 5 Oktober tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 antaranya bertujuan memberi kebebasan kepada pekerja untuk menyertai atau menubuhkan kesatuan mengikut pilihan sendiri.

Yang Dipertua Dewan Negara ketika itu, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, RUU itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (TIA) Dewan Negara bagi memperhalusinya sebelum ia dibawa ke sidang Dewan Negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!