Ahmad Jazlan ikrar 'nyalakan' semula perjuangan UMNO

Ahmad Jazlan (tengah) bersama Md Alwi (kanan) diberi mandat sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagi penggal 2023-2026.
Ahmad Jazlan (tengah) bersama Md Alwi (kanan) diberi mandat sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagi penggal 2023-2026.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob tekad berikrar untuk membangkitkan semula perjuangan UMNO selepas diberi mandat sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu bagi penggal 2023-2026.

Beliau berkata, ikrar tersebut bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh perwakilan pada pemilihan parti pada Sabtu lalu.

"Terima kasih kepada Perwakilan UMNO seluruh negara yang telah memberi sokongan dan peluang kepada saya.

"Insya-ALLAH kita akan bersama-sama demi kebangkitan dan kejayaan UMNO," katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Pada pemilihan itu, Ahmad Jazlan yang merupakan calon nombor 26 berada pada kedudukan keenam selepas memperoleh 152 undi.

Sementara itu seorang lagi wakil Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Ketereh menyifatkan kemenangan yang diberikan kepada beliau bukanlah kebanggaan.

Katanya, kemenangan itu datang bersama tanggungjawab dan amanah.

"Bersama kita menggalasnya demi agama bangsa dan tanah air. Ini rumah kita, tanggungjawab kita. Kita jaga rumah kita.

"Terima kasih kepada semua para perwakilan UMNO di seluruh negara," katanya.

Md Alwi menduduki tangga kesepuluh selepas menerima 118 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!