Tak rugi layan pelajar praktikal

A
A
A

SAYA dijemput ke pejabat seorang sahabat usahawan untuk berbincang mengenai sebuah projek perbukuan.

Azizuddin ialah seorang lulusan kejuruteraan sivil, pernah menjadi jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR). Namun minatnya dalam perniagaan membuatkan dia berhenti kerja untuk menjadi seorang usahawan.

Beliau bukannya menjadi kontraktor pembinaan jika diikutkan kepada kelulusannya. Sebaliknya beliau bermula sebagai seorang pembekal karipap untuk hotel-hotel di sekitar Kuala Lumpur.

Azizuddin tidak pandai membuat walau sebutir karipap. Semua hal pembuatan karipap diuruskan oleh isterinya yang mendapat bekalan daripada jiran-jiran di sekitar kawasan perumahannya.

Daripada menjadi pembekal karipap, Azizuddin menyewa mesin rumput kepada kontraktor-kontraktor kecil lebuh raya. Pada suatu masa itu, beliau ada tidak kurang 300 buah mesin rumput.

Kemudian dia mengambil sub-kontrak melukis papan tanda di lebuh raya dan membekal perabot untuk hotel.

Suatu hari saya nampak foto dia bermain golf. Bila saya bertanya dia di Facebook, katanya dia kini menjadi pembekal peralatan sukan golf dan selam skuba.

Kini dia mahu menjadi pembekal buku pula. Oleh kerana dia tahu saya punyai pengalaman dalam industri buku, maka dia hubungi saya.

Artikel Berkaitan:

Saya terlupa hendak maklumkan kepada anda yang Azizuddin adalah seorang pemuisi pada zaman mudanya.

Saya ke bilik mesyuaratnya. Dia hadir bersama dengan empat pekerjanya. Kami berbincang. Setelah mesyuarat, saya bertanya dia, mengapa perlukan hingga empat orang staf untuk mengendalikan perniagaan buku yang belum pun bermula.

Dia menjawab, yang hadir itu hanyalah seorang eksekutif, tiga lagi ialah pelajar praktikal. Maka timbul persoalan saya mengapa beliau ambil ramai pelajar praktikal dan dibawa pula hadiri mesyuarat.

Sambil tersenyum, Azizuddin menjawab: "Pertama saya tidak mahu menghampakan para pelajar yang memohon." Katanya, ketika menjadi pelajar dahulu dia hampir tidak dapat tempat membuat latihan praktikal.

Mengapa pula pelajar-pelajar itu dibawa ke mesyuarat perancangan syarikat? Kata Azizuddin, dia menganggap para pelajar itu sama seperti pekerjanya yang lain.

Menurutnya, pelajar praktikal banyak belajar teori. Dia mahu para pe-lajar itu menyesuaikan teori-teori mereka dengan dunia sebenar. Lagi pula, dengan kehadiran para pelajar praktikal itu, Azizudin sendiri berpeluang untuk mendapat pengetahuan teori dan menggandingkan dengan apa dilakukan di syarikatnya.

Kata Azizuddin lagi, para pelajar praktikalnya bukan setakat diberi kerja memfotostat minit mesyuarat atau menjilat setem untuk mengepos surat, mereka juga diberi peluang merangka projek-projek baharu seperti projek perbukuan yang hendak dilaksanakan.

Tujuannya, dia mahu mendapat tenaga dan idea baharu daripada para pelajar itu. Idea baharu daripada ‘orang luar’ adalah input yang berharga kerana dia tidak mahu syarikatnya bergerak di atas paradigma operasi yang statik.

Dia benar-benar memberi mereka kebebasan seperti pekerja syarikat kerana dia mahu mereka berani membuat keputusan dan bertindak.

Walaupun Azizuddin akan menanggung segala risiko seandainya para pelajar itu berbuat silap dalam keputusan, beliau berkata yang dia juga biasa rugi akibat salah bertindak meskipun sudah lebih 30 tahun dalam dunia perniagaan.

Daripada apa yang saya lihat, Azizuddin ialah seorang usahawan yang menganggap risiko sebagai adat dunia perniagaan. Dia seorang manusia yang terbuka dengan idea-idea baharu kerana ingin belajar.

Dan yang menariknya, dia tidak lokek untuk memberi peluang kepada para pelajar itu menimba ilmu di syarikatnya. Dengan mengambil para pelajar itu, dia telah jimat masa untuk melatih mereka sebagai proses yang biasanya dilakukan kepada pekerja baharu.

"Mereka dah pernah praktikal di sini. Mereka akan lebih setia daripada pekerja baharu," kata Azizuddin.

Saya setuju 100 peratus dengan cara Azizuddin menyantuni para pelajar praktikal di syarikatnya.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!