KPT perhalusi pindaan AUKU
SERDANG - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang melaksanakan kajian menyeluruh berkenaan pindaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, kementerian kini dalam fasa memperhalusi semua fasal berkaitan akta berkenaan supaya penambahbaikan atau pindaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
"Ada fasal-fasal peruntukan yang berkisar soal kebebasan dan autonomi akan dilihat dan mungkin dipinda, itu memang selari dengan hasrat kementerian.
"KPT sedang mengkaji secara mendalam kerana kita nak lakukan secara menyeluruh, (lihat) satu persatu, jadi nak tengok secara menyeluruh apa lagi yang perlu dipinda," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Farm Fresh Berhad (FFB) bagi membangunkan Pusat Edutourism di Ladang 16, UPM pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Dialog Anak Muda pada Ahad memberi jaminan untuk menghapuskan AUKU yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah.
Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan UMNO, Mohamaed Khaled menjelaskan, keputusan rasmi yang diumum pada Ahad jelas mencerminkan proses pemilihan dilakukan secara telus.
"Secara tidak langsung, saya percaya satu pemilihan itu dilakukan secara demokratik dan transparent (telus).
"Mungkin ada satu dua bahagian yang bermasalah, tetapi yang lain dilakukan secara telus dan boleh dilihat, rata-rata siapa yang menjadi pilihan (perwakilan)," ujarnya.
Pada sesi pemilihan UMNO, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berjaya mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden bagi sesi 2023-2025.
Dalam pada itu, mengenai dakwaan wujudnya kem 'Presiden UMNO' ketika sesi pemilihan, Mohamed Khaled berkata, tidak ada persepsi sedemikian.
"Sekarang ini yang ada hanya kem UMNO," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!