Carsome perkasa pembeli kereta wanita
PLATFORM e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara, Carsome melancarkan inisiatif 'Women Take the Wheel' sempena Hari Wanita Antarabangsa.
Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Carsome, Juliet Zhu berkata, ia akan dilaksanakan di Malaysia, Indonesia dan Thailand selaras dengan komitmen syarikat untuk menjadi lebih inklusif dalam segala interaksi yang melibatkan masyarakat.
Menurut Juliet, berdasarkan data, bilangan pembeli kereta dalam kalangan wanita telah meningkat lebih daripada 308 peratus dalam tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya.
Oleh demikian katanya, inisiatif Women Take The Wheel bertujuan untuk memperkasa pembeli kereta wanita melalui pengalaman dan penawaran yang berbeza.
Tambah beliau, inisiatif itu akan mengambil kira permintaan untuk mendapatkan bimbingan dan panduan terutama dalam aspek teknikal serta yang berkaitan dengan proses peringkat awal pembelian kereta.
“Kami telah mendengar maklum balas pelanggan wanita Carsome dan dimaklumkan tentang cabaran yang mereka hadapi sepanjang proses pemilikan kereta.
“Di samping keyakinan, ketelusan dan menyediakan pilihan menerusi pengalaman pembelian dan penjualan kereta secara digital, Women Take the Wheel melambangkan sokongan kami kepada wanita untuk membuat keputusan tepat.
“Ini hanyalah titik permulaan, dan kami berasa teruja untuk memberi lebih banyak manfaat kepada pelanggan wanita untuk bulan-bulan yang seterusnya. Ia juga menunjukkan dedikasi jangka panjang kami ke arah persekitaran yang lebih inklusif untuk representasi yang lebih seimbang dalam industri automotif.
“Kami harap apa yang dibina pada hari ini akan menjadi asas pada masa akan datang untuk meneruskan sokongan terhadap para wanita,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Juliet berkata, sebahagian daripada inisiatif Women Take the Wheel, Carsome akan menyediakan 11 pakar perkhidmatan di ‘Inspection and Experience Center’ terpilih.
Jelas beliau, ia termasuklah PJ Automall, Kepong, Kelana Jaya, Puchong, Klang, Seremban, Melaka, Skudai, Ipoh dan Bayan Lepas.
Menurutnya, pakar perkhidmatan tersebut akan menyediakan sokongan dan panduan kepada pelanggan wanita dengan layanan yang lancar daripada pandu uji hingga pemilikan kereta.
“Selepas itu pelanggan akan dapat menikmati kemudahan sokongan selepas jualan menerusi interaksi digital Carsome,” ujarnya.
Menurut Juliet, program itu dimulakan dengan 30 hari jaminan wang dikembalikan untuk pelanggan wanita dan satu bulan insurans hayat percuma daripada Fi Life.
Jelasnya, tawaran itu sah sepanjang tempoh kempen dari 8 hingga 31 Mac 2023.
“Ibu bapa juga boleh memanfaatkan sudut kanak-kanak yang mula diperkenalkan di PJ Automall.
“Berdasarkan maklum balas, Carsome akan terus berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan inisiatif tersebut yang bertujuan untuk menyediakan pengalaman yang lebih mesra pelanggan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!