Tukang sapu rugi RM2,000 diperdaya buang hantu

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JEMPOL - Gara-gara terpedaya dengan 'cerita' tiga wanita yang menawarkan khidmat membuang hantu menyebabkan seorang tukang sapu di Bahau di sini kerugian kira-kira RM2,000 pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika wanita berusia 69 tahun itu berada di Pasar Lama Bahau.

"Mangsa telah didatangi tiga wanita berusia lingkungan 40-an tidak dikenali yang turun dari sebuah kereta Proton Waja berwarna hitam.

"Salah seorang daripada mereka telah menyapa mangsa dan mengatakan badannya tidak bersih dan ada hantu sebelum menawarkan untuk membersihkan serta membuang hantu tersebut tanpa dikenakan sebarang bayaran," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, mangsa bersetuju menerima perkhidmatan itu tetapi salah seorang daripada mereka telah meminta mangsa balik untuk mengambil wang dan barang kemas untuk upacara terbabit.

Jelasnya, selepas itu mangsa diminta untuk datang semula ke sebuah bank di Bahau.

"Mangsa yang percaya telah balik ke rumah dan mengambil wang tunai sebanyak RM1,000, dua utas rantai leher emas, seutas rantai tangan emas, serta dua bentuk cincin emas.

"Mangsa telah menyerahkan kesemua barangan tersebut kepada tiga wanita itu di dalam kenderaan," katanya.

Tambah Chang Hook, selepas itu mangsa telah diberikan dua botol air mineral kecil dan sebungkus garam.

Ujarnya, mangsa diarah keluar kenderaan dan diminta tidak pandang belakang dan terus pulang ke rumah.

"Mangsa hanya sedar ditipu seperti dipukau sebaik sampai di rumah apabila ditanya anaknya berkenaan barangan yang dibawa.

"Mangsa telah membuat laporan polis pada hari sama berhubung kerugian yang dianggarkan bernilai RM2,000," katanya.

Chang Hook berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!