Bekas polis hutan tak lupa insiden ketua platun ditembak di dahi

Mohamad Noh menunjukkan sijil penghargaan yang diterima.
Mohamad Noh menunjukkan sijil penghargaan yang diterima.
A
A
A

SEREMBAN - Meskipun sudah lebih 40 tahun berlalu, namun insiden ketua platun ditembak di bahagian dahi ketika diserang hendap komunis tidak dapat dilupakan buat seorang bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH), Mohamad Noh Mansor, 73.

Peristiwa yang berlaku di Sungai Batang Rajang, Sarikei, Sarawak pada 1970-an itu adalah bukti pengorbanan para pejuang terdahulu.

Menurutnya, insiden itu berlaku ketika mereka sedang berehat, namun secara tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi tembakan sebelum melihat ketua platun dikenali sebagai Sarjan Lee rebah.

"Saya menyaksikan sendiri kerana jaraknya hanya kira-kira empat meter dari tempat saya berdiri. Darahnya mencurah-curah keluar di belakang kepala.

"Kemudian bermulalah pertempuran kami dengan musuh Parti Komunis Kalimantan Utara (NKCP)," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan selepas menerima sijil penghargaan sempena Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 pada Isnin.

Selain itu beliau yang memegang jawatan Exco Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM (PB Skuad 69) berkata, dia sempat menyertai sekurang-kurangnya 15 operasi mengekang komunis di Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, dia bersama pasukan pernah juga diserang hendap komunis ketika sedang membuat persiapan untuk balik ke unit bagi menyambut Aidilfitri.

"Kejadian itu menyebabkan kami terpaksa lupakan hasrat untuk pulang bertemu keluarga.

"Syukur pada waktu itu tiada anggota platun yang menjadi sasaran atau ditembak," katanya.

Beliau yang kini aktif menjalankan program kebajikan PB Skuad 69 berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana sentiasa menghargai jasa bekas polis yang berjuang menentang musuh meskipun sudah lama bersara.

"Kepada anak muda, hargailah keamanan dan keharmonian yang kita kecapi kini. Jangan sesekali lalai kerana musuh akan mengambil kesempatan sama ada secara fizikal atau mental," katanya yang bersara pada 2005 sebagai Lans Koperal di IPK Negeri Sembilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!