49 pegawai DOSM diiktiraf sebagai saintis data
SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Seramai 30 pegawai dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerima pengiktirafan sebagai saintis data menjadikan jumlah setakat ini seramai 49 individu yang mempunyai kemahiran penting dalam bidang statistik, penyusunan data, analisis lanjutan, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, seramai 30 saintis data tamat pengajian di bawah program SAS-Certified Data Scientist bermula 3 Oktober tahun lalu hingga 17 Mac lepas di SAS Institute Kuala Lumpur manakala 19 yang lain pada 2018 serta 2021.
Menurutnya, pencapaian ketara itu membolehkan jabatan berkenaan meningkatkan kapasitinya dalam menyediakan dasar berpandukan data secara komprehensif dan tepat.
"Program tersebut mewakili usaha berterusan bagi meningkatkan kapasiti saintis data selain membolehkan penggunaan penuh aplikasi dalam bidang berkenaan menghasilkan statistik rasmi.
"Pensijilan saintis data merupakan langkah penting dalam menghadapi perubahan teknologi yang berkembang pesat, permintaan industri dan revolusi perindustrian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohd Uzir menggalakkan generasi muda yang mempunyai pemikiran kritikal (critical mind) untuk menceburi bidang sains data sekali gus memudahkan pembangunan kepakaran analisis data dalam pasukan dalaman DOSM.
Beliau berkata, sebagai agensi kerajaan terkemuka yang mempunyai Saintis Data dengan memperolehi SAS-Certified Data Scientists sejak 2018, DOSM telah menjadi contoh bagi agensi kerajaan lain di seluruh negara untuk mengiktiraf peranan penting sains data dalam membuat keputusan secara berkesan.
Menggambarkan kemajuan terkini inisiatif Analitik Data Raya di DOSM, beliau menjelaskan bahawa evolusi data dan teknologi berterusan telah mewujudkan keperluan mendesak untuk pembangunan kapasiti terutama dalam bidang sains data.
"Pada masa ini, jabatan sedang menjalankan beberapa projek berkaitan Analitik Data Raya termasuk Statistics Big Data Analytics (StatsBDA), Statistics Data Warehouse (StatsDW), Malaysia Integrated Population Census System (MyIPCS), Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) dan Labour Market Information and Analytics Platform (LMIAP)," jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, pelancaran platform OpenDOSM baru-baru ini telah mengukuhkan komitmen DOSM terhadap pemodenan dan inovasi untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan statistik rasmi selain mencipta penyelesaian inovatif baharu.
Jelas Mohd Uzir, projek berkenaan menunjukkan komitmen DOSM dalam memanfaatkan Analitik Data Raya bagi memberikan maklumat lebih efektif dalam pembuatan keputusan.
Sementara itu, beliau memaklumkan DOSM akan menjalankan Banci Ekonomi pada tahun 2023.
"DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden untuk memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan banci berkenaan dengan melayari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!