TH keluar surat tawaran haji bermula Rabu ini
KUALA LUMPUR - Seramai 31,600 jemaah yang bakal menunaikan haji tahun ini akan menerima surat tawaran bermula Rabu.
Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh tujuh hari bekerja melalui aplikasi THiJARI.
Menurutnya, bagi kes-kes tertentu, penerima surat tawaran boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan.
"Bagi pemilihan jemaah haji, TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020 berumur 65 tahun ke atas, diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022 dan 2023.
"Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.
"Rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI akan dibuka mulai 27 Mac 2023, dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram," katanya dalam sidang media di sini, pada Isnin.
Tambah beliau, seramai 50 peratus bakal jemaah adalah dalam kategori B40, manakala 48 peratus dalam golongan M40 dan dua peratus (T20).
"Menerusi surat tawaran, kita perkenalkan pilihan bayaran sama ada bayar pada kadar yang ditetapkan mengikut kategori kumpulan atau bakal jemaah boleh membuat pilihan untuk membayar lebih mengikut kemampuan mereka.
"Ini kerana pada tahun lalu ramai jemaah golongan B40 yang membuat bayaran lebih atau penuh.
"Tindakan ini sedikit sebanyak bantu TH, dan mengurangkan jumlah Bantuan Kewangan Haji (Hafis) yang kita tanggung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!