Datuk Roy, bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah bebas reman

Datuk Roy yang direman untuk membantu siasatan berhubung program Jana Wibawa dilepaskan pada Isnin dengan jaminan SPRM.
Datuk Roy yang direman untuk membantu siasatan berhubung program Jana Wibawa dilepaskan pada Isnin dengan jaminan SPRM.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lelaki dikenali sebagai Datuk Roy dan seorang bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah yang direman untuk membantu siasatan berhubung program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), dilepaskan pada Isnin dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam bela kedua-dua individu berkenaan, Fahmi Abd Moin berkata, Majistret Mahkamah Putrajaya, Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan anak guam dilepaskan masing-masing dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Menurutnya, SPRM sudah mendapatkan keterangan yang diperlukan daripada kedua-dua individu terbabit dan mereka memberikan kerjasama dalam siasatan.

“SPRM juga telah merakam semua keterangan saksi berkepentingan dan anak guam boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk siasatan lanjut jika perlu.

“Peguam bela mengucapkan terima kasih kepada SPRM dan akan memastikan kedua-dua lelaki itu hadir pada bila-bila masa untuk membantu siasatan,” katanya pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Datuk Roy direman tiga hari oleh Mahkamah Kuala Lumpur pada 13 Mac lalu sebelum ditahan semula di Pejabat SPRM, jam 3.45 petang, Rabu.

Majistret Kuala Lumpur memerintahkan lelaki itu direman bagi membantu siasatan berhubung dana Jana Wibawa.

Siasatan kes Jana Wibawa dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Seramai empat individu termasuk seorang pegawai SPRM telah ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan ke atas program kontroversi itu, namun kemudiannya dibebaskan dengan jaminan.

Bekas Timbalan Pendaftar berusia lingkungan 50-an itu pula ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, jam 9.30 malam, Jumaat lalu, sebelum direman selama tiga hari berakhir hari ini.

Dia disyaki cuba bersubahat meminta wang suapan berjumlah kira-kira RM2 juta, bagi membantu menyelesaikan kes siasatan SPRM terhadap seorang ahli perniagaan yang sudah dituduh berkaitan projek itu.

Suspek pernah bertugas sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah di Putrajaya, sebelum bersara pada Disember 2021.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!