Jom Ziarah Gereja: Hannah beri keterangan di IPD Sentul
KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Isnin, untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran program Jom Ziarah Gereja oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Hannah bersama peguamnya, Sangeet Kaur Deo hadir ke IPD Sentul pada jam 5.30 petang.
Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, beliau memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan dan berharap polis dapat melengkapkan kertas siasatan.
"Saya hadir selepas membaca berita bahawa polis mahu merakam keterangan saya, saya tidak mahu membuang masa dan segera hadir ke IPD Sentul.
"Saya percaya keterangan saya konsisten dengan apa yang telah saya jawab di Parlimen pada minggu lalu berkaitan program berkenaan, saya juga telah menjawab fitnah Chegubard (Badrul Hisham Shaharin)," katanya pada sidang akhbar di IPD Sentul di sini pada Isnin.
Pada Ahad, media melaporkan, polis membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran program Jom Ziarah Gereja.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, walaupun program itu telah dibatalkan pada Sabtu, namun satu laporan polis telah diterima berhubung kes itu.
Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa program Jom Ziarah Gereja tidak melibatkan individu beragama Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!