Kerajaan mahu jadikan KLIA 10 lapangan terbang terbaik dunia

Anthony Loke (empat dari kanan) pada Majlis Perasmian Plaza Premium Lounge di KLIA pada Isnin. - Foto Bernama
Anthony Loke (empat dari kanan) pada Majlis Perasmian Plaza Premium Lounge di KLIA pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Kerajaan berhasrat untuk menjadikan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai antara 10 lapangan terbang terbaik di dunia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi mencapai aspirasi tersebut, penambahbaikan dan penyelenggaraan operasi seperti perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi atau aerotrain, dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) perlu diberi perhatian oleh semua pihak berkepentingan.

"Kedua-dua komponen ini sangat penting kepada pengalaman penumpang, selain faktor-faktor lain termasuk persekitaran lapangan terbang, pencahayaan, suasana dalam lapangan terbang, pengalaman membeli belah, lounge dan sebagainya.

"Kita perlu beri perhatian dan gerakkan semula faktor-faktor ini supaya lapangan terbang KLIA menjadi satu kebanggaan negara dan menjadi pilihan penumpang (sebagai) antara lapangan terbaik dunia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Plaza Premium Lounge di sini, pada Isnin.

Berdasarkan penilaian yang dilakukan oleh penilai antarabangsa Skytrax, KLIA berada di tangga ke-67 dalam senarai lapangan terbang terbaik dunia 2023 daripada kedudukan ke-62 pada tahun sebelumnya.

Rekod terbaik yang pernah dicapai oleh KLIA adalah di tangga kedua pada tahun 2001, sebelum merosot ke kedudukan ke-14 pada 2013 dan ke-44 pada 2018.

Anthony berkata, trend menurun itu perlu diberi perhatian dan diperbaiki bagi memberi imej yang baik kepada negara di persada antarabangsa.

Menurutnya, selepas dibina dan mula beroperasi 25 tahun lepas, KLIA merupakan antara lapangan terbang terbaik di dunia dengan sistem operasi canggih dan moden ketika itu yang sekali gus menjadikannya sebagai mercu kebanggaan negara.

"Namun kita kena faham bahawa dalam tempoh 25 tahun, pergerakan penumpang semakin meningkat jadi apa yang cukup pada 25 tahun yang lalu sudah tidak mencukupi pada waktu ini

"Sudah tentu kita perlu beransur-ansur mengubah dan menambah kapasiti (sistem dan perkhidmatan) sedia ada” katanya.

Baru-baru ini, perkhidmatan aerotrain yang menghubungkan bangunan terminal utama ke bangunan satelit di KLIA dihentikan sementara waktu operasinya bermula 2 Mac atas faktor keselamatan susulan insiden aerotrain terkandas.

Anthony mengambil maklum rungutan penumpang dan juga pelancong berhubung isu terbabit dan berkata, perkhidmatan bas pengantara yang membawa penumpang menghubungkan destinasi tersebut telah dipertingkat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!