Dua rumah terbakar, 7 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang
TUMPAT - Tiga hari menjelang Ramadan, tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dua rumah mereka terbakar dalam tragedi di Kampung Padang Rokma, Wakaf Bharu di sini pada Isnin.
Buruh kasar, Mohamad Rafizan Zakaria, 40, berkata, kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah hari itu memusnahkan rumah ibunya, Rahimah Awang, 65, dan bapa saudaranya Suki Che Mail, 56.
Menurut Mohamad Rafizan, sebelum kejadian itu, dia sedang berehat di tangga rumah ibunya yang terdiri daripada binaan separuh kayu dan separuh batu.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi percikan api datang dari sebuah bilik disusuli jeritan ibu meminta tolong.
“Apabila melihat api, saya berlari mengambil air dan menyimbah beberapa kali namun api itu marak dengan cepat kerana cuaca berangin dan panas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Tanpa berlengah, mereka berlari untuk menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah tersebut. Mohamad Rafizan yang sempat mencapai telefon bimbit ibunya bertindak menghubungi bomba sementara Rahimah dibawa ke hospital kerana mengalami sakit dada.
Kata Mohamad Rafizan, api marak itu merebak dan membakar pula rumah Suki yang terletak rapat bersebelahan rumah mereka.
“Mereka tinggal empat beranak di rumah itu dan turut tidak dapat menyelamatkan apa-apa barangan termasuk uniform serta peralatan persekolahan seorang anak.
“Saya pula tinggal seluar kerja yang sedang dipakai ini sahaja manakala semua termasuk dokumen penting hangus terbakar,” katanya sayu.
Tambah anak kelima itu, buntu dan sedih memikirkan Ramadan yang akan disambut pada Khamis ini dalam keadaan mereka tidak mempunyai tempat tinggal.
“Ibu dan seorang anak saudara saya yang tinggal bersamanya akan menumpang di rumah abang saya di Wakaf Bharu buat sementara waktu.
“Kami bagaimanapun tetap reda dengan ujian ini dan bersyukur nyawa selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Pegawai Bomba Kanan I, Nazah Nafi berkata, BBP Wakaf Bharu menerima panggilan kecemasan pada jam 12.57 tengah hari dan bergegas bersama satu jentera disusuli sebuah lagi jentera dari jentera BBP Tumpat.
“Seramai 10 anggota dan pegawai terlibat bagi operasi memadamkan kebakaran.
“Kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!