11 warga asing berhimpit dalam MPV dicekup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEMAMAN - Dua lelaki ditahan bersama 11 warga asing dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kawasan parkir kenderaan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika ditahan pasukan peronda Zon Timur 4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) kira-kira jam 4 pagi, lelaki berusia 29 dan 37 tahun itu berada di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan kenderaan tersebut.

"Pasukan peronda menyedari sebuah MPV jenis Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir sebelum mengetuk dan menyuluh bahagian di dalam kenderaan.

"Pada mulanya pemandu enggan memberikan kerjasama dengan mengunci pintu kenderaan namun selepas dipujuk hampir 15 minit dia membuka pintu kenderaan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Menurut Hanyan, selepas memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, anggota berkenaan meminta pengenalan diri daripada pemandu dan individu di dalam kenderaan itu.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan mendapati 11 warganegara asing berusia 4 hingga 42 tahun tanpa pengenalan diri berada di bahagian tempat duduk tengah dan belakang kenderaan bersama beberapa bagasi.

"Semakan rekod ke atas pemandu kenderaan pula mendapati lelaki tersebut tersenarai sebagai orang dikehendaki.

"Setelah selesai proses dokumentasi, suspek berserta barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman," katanya.

Hanyan berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dijalankan pada Selasa bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Katanya, jika disabitkan kesalahan suspek berdepan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!