Lebih 50 pelombong jed maut tanah runtuh di Myanmar
NAYPYITAW - MYANMAR.Sekurang-kurangnya 54 orang pelombong jed dikhuatiri maut ekoran tanah runtuh di utara Myanmar, semalam.
Menurut polis, insiden tanah runtuh di wilayah Hpakant negeri Kachin itu membentuk 'tasik lumpur' yang menenggelamkan pelombong yang sedang nyenyak tidur di kuarters masing-masing selain 40 kenderaan yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Kementerian Penerangan Myanmar mengesahkan mangsa yang terlibat merupakan pekerja syarikat Shwe Nagar Koe Kaung dan Myanmar Thura Gems.
Operasi mencari dan menyelamat dilaporkan masih berjalan namun harapan untuk menemukan mangsa yang hidup adalah amat tipis.
Seorang pegawai berkuasa tempatan berkata, hanya tiga mayat berjaya dikeluarkan setakat ini berikutan lumpur tebal.
Insiden tanah runtuh yang disebabkan aktiviti perlombongan tanpa penyeliaan dan peraturan di Myanmar membunuh berpuluh pekerja setiap tahun. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!