Amuk gara-gara wang komisen
KAJANG - Berang kerana tidak diberi komisen jual kenderaan, seorang lelaki bertindak mengugut dan mencederakan bekas majikannya dalam kejadian di sebuah syarikat jual kereta di Jalan Semenyih, di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 10.15 pagi.
Menurutnya, dalam insiden itu, suspek yang bersenjatakan keris kecil bertindak mengacukan senjata itu kepada seorang wanita yang juga pekerja syarikat terbabit.
"Suspek meminta mangsa segera bangun untuk dijadikan tebusan bersama seorang lagi jurujual yang hendak dibawa ke lokasi yang tidak pasti.
"Majikan mangsa berusia 45 tahun kemudian cuba merampas senjata yang dipegang suspek sebelum berlaku pergelutan hingga mengalami kecederaan di tangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, suspek berusia 39 tahun yang positif dadah itu kemudian berjaya diberkas dan diserahkan kepada pihak polis.
Katanya, pemeriksaan lanjut pada suspek telah menjumpai dadah jenis eramin 5.
"Siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek yang tidak diberi wang komisen seperti dijanjikan majikannya sebelum itu," ujarnya.
Tambahnya, suspek yang merupakan bekas pekerja di syarikat jualan kereta itu direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.
"Kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan supaya suspek dituduh di Mahkamah Majistret Bangi pada Selasa kerana mengeluarkan kata berbaur ugutan jenayah dan mencederakan mangsa.
"Suspek juga akan di tuduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!