Teruja saingi nama besar bola sepak tempatan
PEMAIN Kedah Darul Aman (KDA) FC, Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin mahu menggunakan peluang keemasan diberikan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk membuktikan dirinya bersedia berada di kelompok kesebelasan utama.
Meskipun menyedari terpaksa bersaing dari segi fizikal, pemain berusia 25 tahun itu mahu menjadikan ia satu kelebihan, sekali gus membuktikan beliau juga mampu menggalas kepercayaan jurulatih berasal dari Korea Selatan itu.
“Dari sudut fizikal memang akan ada cabaran kerana saya perlu bersaing dengan pemain-pemain yang bersaiz lebih besar dan tinggi, namun saya percaya itu bukan halangan menjadi seorang pemain yang baik.
“Saya akui teruja kerana dipanggil untuk menyarung jersi ini buat pertama kalinya dan berpeluang bermain dengan pemain-pemain yang bernama besar dalam bola sepak tempatan,” katanya kepada pemberita ketika sesi latihan pusat di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Padang Seri Gelam, Johor.
Mengakui menjalani sesi latihan dengan skuad kebangsaan sangat berbeza dengan latihan bersama Kedah, pemain berasal dari Baling itu turut berterima kasih kepada ketua jurulatihnya Nafuzi Zain atas pencapaiannya hingga kini.
“Yang penting saya akan buat yang terbaik dalam latihan. Jurulatih (Nafuzi) banyak bantu menaikkan prestasi saya, banyak bantu dari segi permainan, mungkin itu salah satu sebab mengapa Pan-gon panggil saya,” katanya.
Sebagai rekod, Muhammad Fayadh antara senarai 27 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bermula Sabtu lalu bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan pada 23 Mac dan Hong Kong (28 Mac) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!