UMW Toyota Motor lancar Toyota Vios serba baharu
UMW Toyota Motor melancarkan model generasi keempat Toyota Vios, sedan subkompak popular paling laris dalam pasaran kereta bukan nasional Malaysia dengan lebih setengah juta unit terjual sejak diperkenalkan pada 2003.
Model baharu yang amat dinanti-nantikan itu ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 E (AT) dan 1.5 G (AT) dengan harga atas jalan tanpa insurans masing-masing bermula RM89,600 dan RM95,500.
Toyota Vios serba baharu menawarkan prestasi lebih baik, pecutan lebih pantas dan teknologi baharu menjadikannya pilihan lebih menarik kepada pelanggan yang sedang mencari kereta yang boleh dipercayai, cekap dan mampu milik.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk K Ravindran berkata, selaras dengan trend syarikat berkenaan dalam menawarkan kereta lebih baik, Toyota telah menggabungkan teknologi automotif termaju dengan spesifikasi yang dinaik taraf bagi menyediakan nilai terunggul dalam pemilikan Toyota Vios serba baharu.
Menurutnya, model baharu tersebut didatangkan dengan enjin 1.5 liter DOHC Dual VVT-i yang terbukti dipertingkatkan untuk menawarkan prestasi lebih kukuh, manakala transmisi tujuh kelajuan CVT dengan Sequential Shiftmatic memberikan pecutan lebih tangkas, selain meningkatkan lagi tahap kecekapan bahan api.
Kata beliau, ia turut dilengkapi Toyota Safety Sense (TSS) yang menawarkan ciri keselamatan lebih baik menerusi penggunaan teknologi termaju kepada pemandu dan penumpang.
"TSS memberi amaran kepada pemandu mengenai bahaya dan bertindak balas secara autonomi bagi mencegah atau mengelakkan pelanggaran.
"Pemandu juga akan dapat menikmati paparan gred tinggi dan keselesaan yang lebih baik dengan tempat duduk hadapan yang direka bentuk semula untuk posisi pemanduan selesa serta sokongan yang lebih baik," katanya pada majlis pelancaran Toyota Vios Serba Baharu di M Resort & Hotel Kuala Lumpur pada Isnin.
Ravindran menjelaskan, fungsi baharu seperti 'Paddle Shifters' dan 'Electronic Parking Brake' menambahkan lagi kemudahan kepada semua pemandu.
Menjangkaui sentuhan elegan, ujarnya, Toyota Vios serba baharu mengetengahkan pengalaman premium secara menyeluruh dengan bahan lebih baik dan lebih lembut di seluruh kabin.
Dikilangkan di Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Bukit Raja, Klang, model berkenaan memenuhi standard kualiti di seluruh rantaian proses pemasangan yang cekap sejajar dengan 'Toyota Way'.
"Tarikan baharu Toyota Vios ialah di mana ia menjadi kenderaan pertama yang menggabungkan teknologi terkini ketika proses pemasangan.
"Ruang enjin juga direka semula bagi mengurangkan titik putus bentuk, seterusnya ia dapat mengurangkan lagi beratnya," tambah Ravindran.
Beliau memberitahu, penggunaan teknologi termaju dalam proses pemasangan Toyota Vios serba baharu bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kecekapan pengeluaran malah menggalakkan lagi peningkatan kemahiran tenaga kerja, memupuk pengembangan pengetahuan dalam industri dan seterusnya memberi sumbangan positif kepada ekonomi tempatan.
"Maklum balas terhadap Toyota Vios serba baharu adalah luar biasa dengan jumlah tempahan melebihi 5,000 unit sejak pengumuman tempahan dibuka pada 24 Februari lalu. Ini adalah bukti populariti Toyota Vios Serba Baharu di pasaran Malaysia," ujarnya.
Model berkenaan tersedia dalam lima pilihan warna dengan Spicy Scarlet tampil sebagai pilihan terkini dan hadir dengan waranti lima tahun serta perbatuan tanpa had.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!