Penat, sakit hati jalan sesak hari-hari
MASALAH kesesakan lalu lintas yang berlaku di bandar-bandar besar di negara ini terutamanya di Lembah Klang bukanlah perkara yang baharu berlaku.
Sebagai contoh di Jalan Klang Lama menuju ke Petaling Jaya yang masih tiada perubahan besar sejak 40 tahun lalu.
Jalan itu kini telah dibesarkan malah dibina laluan bertingkat di atas laluan kereta api yang terdapat di laluan tersebut, namun masalah kesesakan di situ terutamanya ketika masa puncak terus berlaku.
Laluan bertingkat dan lebuh raya yang semakin banyak dibina di Lembah Klang juga gagal menangani masalah kesesakan jalan raya.
Disebabkan terlalu banyak jalan bertol menyebabkan pengguna lebih gemar menggunakan jalan lama.
Ada segelintir pengguna tidak mampu untuk membelanjakan sebanyak RM20 sehari atau RM400 sebulan untuk ke pejabat dengan menggunakan jalan bertol.
Cara paling mudah ialah dengan menggunakan motosikal tetapi yang membimbangkan ialah ibarat nyawa di hujung tanduk.
Jumlah kemalangan membabitkan motosikal amat tinggi.
Kalau tidak kerana kesilapan sendiri, kecuaian orang lain boleh membawa padah.
Selain itu, sikap pemandu yang kurang sabar dan suka memotong barisan juga menyumbang kepada kesesakan jalan terutamanya di persimpangan jalan sehingga menyebabkan laluan terus turut menjadi perlahan.
Tidak ada sesiapa yang mahu menghabiskan masa berjam-jam di atas jalan raya menempuh kesesakan.
Sementara itu, pengangkutan awam di Lembah Klang juga masih belum cukup efisien dan masih ada ruang kelemahan yang boleh diperbaiki.
Selain menangani masalah tempoh menunggu yang lama, pertukaran antara satu stesen ke stesen lain juga tidak seharusnya mengambil masa yang terlalu lama atau melibatkan jarak stesen pertukaran yang jauh.
Sehubungan itu, langkah kerajaan membentuk Jawatankuasa Kabinet untuk merangka langkah komprehensif dan menyeluruh dalam menangani isu kesesakan lalu lintas dipuji.
Diharap idea-idea yang bernas dapat dijana dan diterjemahkan dengan baik oleh jawatankuasa ini.
Pengguna jalan raya sudah penat dan sakit hati dengan masalah kesesakan yang dihadapi sehingga ada yang mengatakan kita sudah banyak menghabiskan usia hanya di atas jalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!