Adakah dunia ini kejam?
AGAK membimbangkan apabila kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah mempunyai keinginan untuk membunuh diri.
Apatah lagi, semua itu disebabkan masalah mental seperti kemurungan dan kebimbangan keterlaluan.
Dalam kajian yang didedahkan Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini, sebanyak 13.4 peratus kanak-kanak dan remaja mempunyai pemikiran sedemikian disebabkan tekanan hidup.
Daripada statistik yang sama, sebanyak 12.3 peratus didapati mengalami masalah kesihatan tersebut adalah mereka yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.
Lebih menyedihkan apabila kelompok yang dikaji rata-ratanya berusia 10 hingga 17 tahun.
Malah, faktor yang mendorong mereka bertindak di luar kawalan disebabkan tekanan ekonomi, persekitaran rumah sempit dan rakan sebaya.
Adakah dunia ini terlaku kejam sehingga mendorong mereka yang masih belum matang pemikiran melakukan sesuatu di luar jangka?
Sebenarnya, isu ini tidak boleh dipandang remeh semua pihak kerana data yang dikongsikan Jabatan Statistik Malaysia pada tahun 2019, sebanyak 468 kes bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah bermula pada tahun 2010.
Laporan itu juga menunjukkan bahawa terdapat peningkatan jumlah mereka yang membunuh diri adalah dalam kalangan remaja perempuan.
Lagi membimbangkan, merujuk rekod Polis Diraja Malaysia, kes bunuh diri di negara ini meningkat 81 peratus pada tahun 2021 dengan 1,142 kes dilaporkan berbanding 631 kes pada tahun 2020.
Menurut Penceramah dan Pakar Motivasi Keluarga, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, hal sedemikian berlaku mungkin disebabkan trauma emosi kerana faktor pengabaian atau kegagalan dalam hubungan interpersonal.
“Maaf cakap, ibu bapa zaman sekarang yang terlalu sibuk dengan kerja hakiki dan gajet sehingga menjadikan anak-anak kesunyian dan lebih terdedah dengan pengaruh negatif media sosial atau kawan.
“Sedangkan untuk usia sedemikian, mereka wajar dididik dengan disiplin terutamanya bab solat, makan dan tidur pada waktunya. Pengisian rohani itu sangat penting buat mereka,” jelas beliau.
Apabila menyentuh soal kesempitan hidup dengan persekitaran tempat tinggal serba kekurangan, Wan Akashah juga percaya itu antara faktor yang mendorong isu berlarutan.
“Antara rahsia keluarga bahagia adalah penyediaan rumah yang luas dan serba lengkap untuk pembangunan mental dan fizikal anak-anak.
Jika rumah yang ada dua bilik sahaja, boleh membuatkan mereka tertekan,” terang beliau.
Pun demikian, metodologi terbaik untuk membendung isu sebelum menjadi barah yang melarat dalam komuniti setempat, nasihat Wan Akashah supaya semua pihak terutamanya ibu bapa perlu memainkan peranan terbaik.
Jadi, apa yang harus dilakukan para ibu bapa sekalian? Sesekali pandang dan lihatlah wajah anak sebelum makan malam bersama atau tidur dan berkongsilah cerita sebanyak mungkin.
Boleh jadi, perkongsian tersebut boleh membuka ruang dan peluang kepada si anak untuk berkongsi masalah yang terpendam, yang mungkin ibu bapa sendiri tidak tahu.
Percayalah, dengan sedikit masa yang diluangkan bersama, boleh membuatkan anak-anak rasa dihargai, merasai mereka ‘wujud’ dan tahu ada tempat bergantung jika ada masalah.
Lagi satu, awasi tahap penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak kerana video atau content buruk tanpa kawalan boleh mendorong mereka untuk mencuba sesuatu yang tak masuk akal.
Pada masa sama, kerajaan melalui agensi berkaitan sudah menyediakan banyak program kesedaran dan kaunseling berterusan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat misalnya melancarkan Program Kita Peduli untuk membantu remaja yang menghadapi masalah mental selain pelbagai pertubuhan bukan kerajaan seperti Befrienders Malaysia yang menyediakan perkhidmatan sokongan.
Terbaharu, saranan supaya talian HEAL 15555 dapat diberikan pada kadar Rahmah atau secara percuma, sudah pasti disambut baik semua pihak khususnya mereka yang memerlukan.
Saluran bantuan sesi kaunseling yang bermula jam 8 pagi hingga 12 malam itu boleh menjadi wadah luahan dan sekurang-kurangnya mereka tidak keseorangan.
*Arziana Mohmad Azaman ialah Wartawan Rencana SinarPlus Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!