Persediaan terbaik sambut Ramadan

A
A
A

SYAABAN yang cuma berbaki beberapa hari ini akan menemukan kita dengan Ramadan yang dinanti-nanti. Sebagai Mukmin, kita selayaknya mencontohi Nabi SAW yang membuat persediaan rapi bagi menyambut kedatangan Ramadan, iaitu dengan membanyakkan amalan pada bulan Syaaban.

Persediaan yang diajar Baginda Nabi SAW, malah sejak bulan Rejab lagi membolehkan kita menyusun latihan terbaik sebelum memasuki Ramadan, bulan yang dilimpahi keberkatan, rahmat serta keampunan ALLAH SWT.

Sebagaimana dirakamkan dalam ayat 183, Surah al-Baqarah, pensyariatan ibadah puasa bermatlamat memupuk ketakwaan golongan beriman yang melaksanakan ibadah berkenaan. Imam al-Razi dalam kitab Mafatih al-Ghayb yang mentafsirkan ayat ini mengatakan bahawa ibadah puasa mengandungi perkara-perkara yang dapat melemahkan dan menewaskan hawa nafsu. Selain itu, ibadah puasa membuatkan kelazatan dunia tidak menjadi keutamaan bagi seseorang dan tidak sama sekali menguasai diri serta fikirannya.

Dalam hubungan ini, individu yang banyak berpuasa dapat melatih dirinya untuk tidak melayani nafsu perut seperti makan dan minum, nafsu seksual serta bentuk-bentuk kelazatan dunia yang lain. Oleh itu, ia terhindar daripada melakukan perkara-perkara perbuatan keji dan mungkar yang sekali gus menyimpulkan maksud ketakwaan.

Amat malang seandainya hikmah dan manfaat besar yang terkandung dalam ibadah puasa ini tidak berjaya dicapai. Maka jadilah ibadah yang dilaksanakan itu sekadar menahan lapar dan dahaga untuk tempoh tertentu cuma.

Sungguh rugi jika usaha melemahkan dan menguasai hawa nafsu serta syahwat dalam segenap keadaan dan masa tidak diberikan perhatian. Dengan demikianlah, misalnya, dapat dilihat di negara ini, pembaziran makanan dan pembuangan sisa makanan menjadi isu yang kritikal pada bulan Ramadan saban tahun.

Lebih ironi, sebagaimana didedahkan dalam Persidangan Meja Bulat “Pengurangan Sisa Makanan: Ke Arah Kesepaduan Usaha Bersama” pada 15 April 2019 anjuran IKIM, peningkatan jumlah sisa makanan berlaku pada bulan yang mulia itu di antara 15-20 peratus di samping pada Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

Peningkatan sisa makanan hakikatnya merupakan masalah bersama umat Islam di seluruh dunia pada bulan sesuci Ramadan. Selain Malaysia, negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar juga mencatat jumlah pembuangan sisa makanan yang besar sepanjang Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini termasuklah pembelian barangan runcit serta makanan secara boros dan berlebih-lebihan. Sama ada disedari mahupun tidak, perbuatan membazir makanan itu bukan sahaja menafikan hak golongan memerlukan seperti fakir dan miskin malah juga mendatangkan kesan buruk terhadap alam sekitar.

Pelbagai langkah diambil di setiap negara Islam terbabit bagi menangani masalah pembuangan sisa makanan. Hal tersebut sama ada melalui peningkatan kesedaran dan perubahan sikap semua pihak yang terlibat termasuk dengan mencontohi amalan terbaik di negara-negara lain.

Begitu juga dengan pewujudan kemudahan-kemudahan tertentu seperti kitar semula dan bank makanan serta penguatkuasaan undang-undang sedia ada secara berkesan. Bank makanan, misalnya, merupakan inisiatif kemasyarakatan yang dilancarkan tahun lalu di Dubai bagi membolehkan lebihan makanan didermakan kepada Bank Makanan UAE.

Selain langkah positif seumpama ini, terdapat gesaan supaya ulama memainkan peranan penting sepanjang bulan Ramadan bagi memberikan dorongan kepada umat Islam supaya mematuhi prinsip-prinsip kelestarian sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran serta Hadis.

Besar harapan tergalas di bahu umat Islam agar tabiat buruk sebelum ini tidak akan berulang atau sekurang-kurangnya menunjukkan perubahan yang memberangsangkan pada Ramadan yang akan menjelang tidak lama lagi.

Mudah-mudahan peluang beribadah serta bermujahadah sepanjang Ramadan dimanfaatkan sebaiknya bagi meraih matlamat kudus yang ditentukan syarak.

* Wan Roslili Abd Majid ialah Felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!