Pertembungan klasik Itali, England

MANCINI
MANCINI
A
A
A

PENGENDALI Itali, Roberto Mancini percaya pertembungan pasukannya dengan England telah menjadi perlawanan klasik menjelang aksi pembukaan kelayakan Euro 2024 pada Jumaat ini.

Azzurri memenangi Euro terakhir dengan menewaskan pasukan Gareth Southgate menerusi penentuan penalti pada perlawanan akhir di Wembley pada 2021.

Itali dan Three Lions kemudian bermain seri tanpa jaringan dalam Liga Negara-Negara Jun lalu, sebelum Giacomo Raspadori memastikan kemenangan 1-0 untuk anak buah Mancini dalam pertemuan terakhir mereka tiga bulan kemudian.

England akan mendapat satu lagi peluang untuk membalas dendam dalam pertembungan Kumpulan C di Stadio Diego Armando Maradona minggu ini dan Mancini menjangkakan cabaran hebat bakal diberikan pasukan lawan itu.

"Bagi saya, ia telah menjadi klasik. England dan Itali banyak kali bertemu ibarat seperti Itali dan Jerman pada masa lalu.

"Sejak sekian lama mereka telah menjadi pasukan yang hebat, penuh dengan pemain berbakat dengan kekuatan dan teknik. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar sama seperti yang lain.

"Mereka mempunyai lebih banyak pilihan daripada kami atas banyak sebab, tetapi di Naples kami mahu bermain dengan cemerlang dan memulakan perlawanan kelayakan ini dengan baik," katanya.

Itali gagal layak ke Piala Dunia di Qatar tahun lepas dan Mancini menegaskan pasukan itu dalam proses pembinaan semula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!