Ringgit kekal momentum positif berbanding dolar AS

Ringgit mengekalkan momentum positif berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan pada Selasa
Ringgit mengekalkan momentum positif berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan pada Selasa
A
A
A

RINGGIT mengekalkan momentum positif berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan pada Selasa, memandangkan ketidaktentuan global yang berterusan mendorong lebih ramai pelabur beralih kepada mata wang negara yang sedang pesat membangun, termasuk ringgit, kata peniaga.

Pada 9.20 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4710/4750 berbanding dolar AS daripada 4.4830/4885 ketika ditutup pada Isnin.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, ketidaktentuan berlarutan susulan rundingan pembelian Credit Suisse oleh bank terbesar Switzerland, UBS.

"Krisis keyakinan dalam sistem perbankan ini sedang dipantau secara berhati-hati oleh semua peserta pasaran di seluruh dunia, manakala Switzerland melakukan satu campur tangan penting dalam sejarahnya untuk memudahkan transaksi antara UBS dan Credit Suisse.

"Di Malaysia, data imbangan perdagangan adalah lebih tinggi berbanding jangkaan, menandakan kemungkinan peningkatan ringgit berbanding dolar AS. Di Amerika Syarikat, keputusan kadar faedah dijangka pada Rabu dan ini akan dipantau rapat oleh semua pelabur kerana ia berpotensi menjadi peristiwa yang menggerakkan pasaran utama,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.4101/4137 daripada 3.4177/4224 semasa ditutup pada Isnin namun, susut berbanding pound British kepada 5.4868/4917 daripada 5.4657/4724 semalam.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.7916/7959 daripada 4.7843/7901.

Walau bagaimanapun, ringgit didagangkan lebih tinggi kebanyakannya berbanding mata wang lain Asean.

Mata wang tempatan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.3406/3440 daripada 3.3408/3454 pada penutupan Isnin dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1380/1560 daripada 13.1408/1631.

Ringgit stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 291.00/291.40 daripada 291.80/292.30 namun turun berbanding peso Filipina kepada 8.23/8.24 daripada 8.20/8.21. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!