[VIDEO] Cagaran wang caruman tidak bercanggah akta KWSP - PM
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan kaedah membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan wang caruman sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan tidak melanggar Akta KWSP 1991.
Malah katanya, kerajaan juga telah merujuk perkara tersebut dengan penasihat undang-undang KWSP dan peguam negara sebelum mengemukakan cadangan tersebut.
“Tentunya dari segi penasihat undang-undang dan peguam negara (telah) dirujuk dan (didapati) tidak ada percanggahan (dengan AKta KWSP 1991),” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Muslimin Yahaya (PN - Sungai Besar) yang bertanyakan sama ada kerajaan telah meminta pandangan penasihat undang-undang dan peguam negara berhubung cadangan pinjaman bank dengan cagaran wang KWSP.
Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun dalam masa sama turut menjelaskan, pemberian dividen diberikan secara penuh kepada peminjam, meskipun ada yang membuat pinjaman itu nanti.
“Cagaran umpamanya RM50,000 sebagai pinjaman (diambil oleh pencarum) tetapi dividen itu akan diberikan sepenuh ikut kumpulan asal. Jadi tidak dipotong.
“Oleh demikian, KWSP merasakan dalam beberapa tahun, pulangan itu dapat diperoleh,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Semasa sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 Peringkat Dasar baru-baru ini, Anwar memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.
Jelasnya, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya menyifatkan kaedah KWSP memberikan ruang kepada pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak pinjam dari bank, dengan jaminan cagaran bank, adalah yang terbaik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!