Polis kesan wanita curi barang jemaah masjid

Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan seorang wanita mencuri barangan milik jemaah wanita yang sedang solat Isyak di Masjid Taman Temerloh Jaya pada Sabtu lalu.
Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan seorang wanita mencuri barangan milik jemaah wanita yang sedang solat Isyak di Masjid Taman Temerloh Jaya pada Sabtu lalu.
A
A
A

TEMERLOH - Polis sedang mengesan seorang wanita berusia lingkungan 40-an kerana disyaki terlibat dalam kejadian mencuri barangan milik jemaah di Masjid Taman Temerloh Jaya di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, perbuatan wanita itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan sebelum videonya ditularkan melalui laman sosial.

Menurutnya, pihak polis menerima dua laporan berkait kejadian tersebut pada Ahad.

"Berdasarkan rakaman video berdurasi dua minit itu, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.48 malam dalam ruangan solat wanita ketika jemaah sedang solat Isyak.

"Suspek dipercayai mencuri barangan peribadi milik jemaah wanita dengan anggaran kerugian RM3,500," katanya.

Mohd Azhar berkata, berdasarkan rakaman video itu, suspek datang ke masjid itu menggunakan kereta jenis Proton Wira berwarna biru atau kelabu.

"Susulan laporan diterima, kertas siasatan kes itu telah dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung wanita itu supaya tampil membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!