Ribuan penduduk Afrika Selatan berarak gesa presiden letak jawatan
JOHANNESBURG - Beribu-ribu penyokong pembangkang di Afrika Selatan berarak di jalan raya pada Isnin menuntut Presiden Cyril Ramaphosa meletak jawatan.
Pemimpin parti sayap kiri Pejuang Kebebasan Ekonomi (EFF), Julius Malema yang menganjur protes itu berkata, mereka sudah bosan dengan pemotongan bekalan elektrik, rasuah, peningkatan kemiskinan dan pengangguran yang tinggi.
"Mesej kami jelas: Ramaphosa mesti meletak jawatan," katanya kepada penyokong yang berkumpul di Church Square di Pretoria, lapor Agensi Anadolu.
Protes di seluruh negara dikawal ketat pihak keselamatan yang meletakkan kira-kira 3,474 anggota tentera membantu polis mencegah dan membanteras jenayah bagi mengelak rompakan dan pertempuran ganas seperti yang berlaku di negara itu dua tahun lepas.
Hari itu, polis mengumumkan penahanan 87 orang di seluruh negara atas kesalahan berkaitan keganasan awam yang dikaitkan dengan protes.
Malema berkata, mereka menuntut Ramaphosa berundur kerana didakwa salah urus negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!