Tidak boleh naik harga makanan kantin tanpa persetujuan sekolah

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan sebarang perubahan harga makanan di kantin sekolah perlu dibincangkan dan mendapatkan persetujuan bersama oleh pihak sekolah dan pengusaha kantin terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, perkara itu juga terkandung dalam buku panduan dan perjanjian penyewaan kantin melalui surat arahan Pelaksanaan Pemantauan Berkala Pengoperasian Kantin Sekolah dan Peringatan Pelaksanaan Kendiri Kantin di sekolah di bawah KPM.

“Sebarang perubahan harga makanan di kantin sekolah perlu dibincangkan dan mendapatkan persetujuan bersama oleh pihak sekolah dan pengusaha kantin.

“Sebagai langkah kawalan dan peringatan, KPM telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir sekolah membuat pemantauan kantin dari semasa ke semasa,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan dibangkitkan Hassan Saad (PN - Baling) yang memintanya menyatakan usaha Kementerian mengatasi peningkatan harga makanan di kantin sekolah akibat harga bahan mentah yang tinggi di pasaran.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, KPM melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Murid di sekolah juga bertanggungjawab memantau pengoperasian kantin sekolah dalam memastikan makanan yang dijual di kantin sekolah sentiasa bersih, bermutu, berkhasiat, selamat dan mencukupi pada harga yang berpatutan.

Jawatankuasa ini katanya, sentiasa mengadakan perbincangan dengan pengusaha kantin bagi memastikan peraturan yang terkandung dalam buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat dan Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah dipatuhi.

“Berdasarkan buku panduan tersebut, adalah menjadi tanggungjawab pihak Pengetua atau Guru Besar memastikan pengusaha kantin menjual makanan mengikut senarai makanan dan minuman yang terdapat dalam sebut harga yang dilampirkan dalam Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan penjualan makanan dan minuman di kantin sekolah adalah pada harga yang berpatutan,” katanya.

Selain itu katanya, KPM juga mengambil maklum dengan peningkatan kos bahan mentah yang meningkat di pasaran semasa serta beberapa aduan yang diterima berkaitan kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

“KPM sentiasa peka dan komited terhadap kebajikan dan kesihatan murid meliputi pelbagai aspek, termasuk perkhidmatan kantin sekolah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!